Sunday, November 7, 2010

.....::akU daN puRdaH::....

Bismillahhirrahmanirrahim...
Assalamualaikum sahabat-sahabat yang disayangi Allah sekalian, hari ini sekali lagi saya berceloteh menerusi rancangan ‘cahaya izzah’ dalam channel http://musafircinta89.blogspot.com untuk berkongsi dengan sahabat-sahabat sekalian berkenaan purdah. Tajuk perbincangan pada kali ini adalah ‘Aku dan Purdah’.
Pertama sekali, saya nak kabo mengenai pandangan ulama’ berkenaan dengan purdah. Tidak semua orang mengetahui tentang ini. Ada yang terus pakai tanpa ambil kira hukum dan khilaf ulama’. Tapi yang saya perhatikan, pemakaian purdah ini semakin diambil cakna oleh muslimat Malaysia. Penangan Ayat-Ayat Cinta kah? InsyaALLAH tidak kan sahabat-sahabat. Saya tahu ada yang ikhlas dari lubuk hati yang paling dalam dan tekad yang kuat untuk meneruskan sunnah yang semakin ketinggalan. Pemakaian purdah oleh wanita Islam merupakan masalah khilafiyah iaitu perkara yang menjadi perselisihan pendapat dan pertikaian di kalangan ulama. Ulama’ berselisih pendapat sejak dulu hingga sekarang. Puncanya adalah kerana dalil-dalil berkaitan purdah ini tidak ada dalil yang jelas dan nyata. Para ulama’ menyatakan pendirian mereka berdasarkan pemahaman dan ijtihad masing-masing dalam memahami nas-nas tersebut.
Jadi, berlakulah perselisihan tersebut dan puncanya adalah dari penafsiran ayat dari surah an nur iaitu:
Firman Allah Taala bermaksud:

Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.

(Surah al-Nur: Ayat 31).
Berdasarkan dalil dari ayat 31 surah an-nur ini, sebilangan ulama’ berpendapat muka dan kedua tapak tangan adalah aurat dengan maksud mudahnya setiap perempuan Islam mestilah memakai purdah. Sebilangan lagi berpendapat muka dan tapak tangan bukan aurat dan memakai purdah adalah bukan satu perkara yang wajib. Di bawah ini disertakan pandangan mazhab-mazhab secara ringkas berkenaan aurat di hadapan bukan mahram. Di sini juga tidak dinyatakan munaqasyah dalil-dalil bagi tidak memanjangkan perbahasan.
Jumhur Ulama:
Tidak wajib purdah dan mengharuskan pendedahan muka dan kedua-dua tangan di hadapan lelaki asing yang bukan mahram sekiranya aman dari fitnah.
Mazhab Hanafi:
Tidak harus lelaki melihat perempuan asing dan merdeka melainkan muka dan kedua-dua tangan sekiranya tidak dibimbangi mendatangkan syahwat. Adapun kedua-dua kaki juga bukan aurat.
Mazhab Maliki:
Aurat perempuan merdeka ketika bersama lelaki asing ialah seluruh badan kecuali muka dan kedua-dua tapak tangan sekiranya tidak menimbulkan syahwat.
Mazhab Shafie:
Aurat perempuan yang merdeka adalah seluruh badannya melainkan muka dan kedua-dua tapak tangan sekiranya tidak menimbulkan fitnah. Pendapat lain mengatakan seluruh tubuh perempuan adalah aurat termasuk muka dan kedua-dua tangan.
Mazhab Hanbali:
Seluruh tubuh perempuan Islam adalah aurat. Pendapat lain mengatakan aurat perempuan di hadapan lelaki asing adalah suluruh tubuh kecuali muka dan kedua-dua tangan sekiranya tidak menimbulkan fitnah.
Kesimpulan: Pendapat jumhur ulama yang mengatakan aurat perempuan Islam adalah seluruh tubuh badannya kecuali muka dan kedua-dua tangan selagimana tidak membawa kepada syahwat dan fitnah adalah lebih bertepatan berdasarkan dalil-dalil yang dikemukakan. Pendapat ini ditarjih oleh Syeikh Prof. Dr. Yusof al-Qaradhawi sepertimana yang telah dinyatakan di dalam kitabnya bertajuk al-Niqab Limaraah dengan mengatakan juga memakai purdah tidak diwajibkan.

Sesungguhnya ulama itu adalah pewaris para nabi. Para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Mereka hanya mewariskan ilmu. Maka barangsiapa yang mengambil (warisan ilmu) tersebut ia telah mengambil habuan yang paling sempurna.

(Riwayat Ahmad, Tarmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah).
BAGAIMANAKAH MENGHADAPI KHILAF?
Masih ada segelintir golongan masih tidak berlapang dada atau menerima nasihat ini dengan hati yang terbuka. Jadi di sini saya ingin mengingatkan semula perkara ini agar kesatuan dan keharmonian umat Islam terus terjaga.
Kaedah Fiqhiyah menyatakan bermaksud:
Tidak boleh dibantah sesuatu hukum yang berlaku khilaf di kalangan fuqaha. Hanya yang boleh dibantah ialah perkara mungkar yang disepakati oleh para ulama di atas pengharamannya.
(Lihat kitab: al-Asybah Wa al-Nazair Fi Qawaid Wa Furu Fiqh al-Syafiiyah karangan Imam Jalaluddin Al-Sayuti).
Maksud kaedah ini (di atas) secara lebih jelasnya ialah kita tidak boleh menafikan, membantah atau menuduh orang lain adalah tidak betul atau salah kepada orang lain yang memilih salah satu pendapat dalam perkara yang berlaku perselisihan pendapat ulama padanya. Malangnya jika dilihat fenomena hari ini terdapat segelintir golongan yang menyanggah dan menyalahi kaedah ini lantas menyalahkan orang lain yang tidak sependapat dengannya. Malah mereka hanya menyeru orang lain supaya memahami dan menerima pendapat mereka sahaja sedangkan mereka tidak melihat terlebih dahulu keadaan tempat dan suasana pada ketika itu. Inilah di antara masalah terbesar yang menimbulkan banyak kesan negatif kepada umat Islam di Malaysia khususnya semenjak sekian lama.
KESIMPULAN
Isu purdah ini hanyalah perkara khilafiyyah dan agak mustahil ia boleh mencapai kata sepakat daripada para ulama Islam sepanjang zaman. Perselisihan ini boleh dileraikan jika kita masing-masing boleh bertolak-ansur dengan mengutamakan sifat saling hormat-menghormati di antara satu sama lain. Inilah yang di jelaskan oleh Islam kepada pengganutnya. Di dalam mengangani isu pemakaian purdah ini secara baik, di sini saya simpulkan bahawa mana-mana wanita Islam yang hendak memakai purdah maka kita tidak boleh menghalangnya atau mengejinya. Bagi sesiapa yang memilih untuk tidak memakai purdah pula maka kita juga tidak boleh menghalangnya atau mengejinya. Kedua-dua pihak adalah betul. Apa yang terlebih penting adalah: Bagaimana dengan wanita Islam yang tidak menutup aurat? Tapi apa yang penting, suka saya ingatkan bahawa sahabat-sahabat saya yang berpurdah, wajiblah kita menjaga adab-adab dan susila kita kerana apa yang kita lakukan walau sekecil hal akan di pandang oleh masyarakat sekeliling. Wallahhua’lam.

3 comments:

  1. lagu best.... tapi elok tidak ada bunyi kerana perlukan pemahaman yang mendalam... jgn marah yer...

    ReplyDelete
  2. perempuan yg pakai purdah adalah yg tercantik

    ReplyDelete