Sunday, December 26, 2010

Tinta Buat Bakal Suamiku


Assalammualaikum wrt wbt.

Buatmu,
Bakal suamiku.


Entah angin apa yang membuai hari ini, membuatkanku begitu berani untuk mencoretkan sesuatu untuk dirimu yang tidak pernah kukenali. Aku sebenarnya tidak pernah berniat untuk memperkenalkan diriku kepada sesiapa. Apatah lagi meluahkan sesuatu yang  khusus buatmu sebelum tiba masanya. Kehadiran seorang lelaki yang menuntut sesuatu yang aku jaga rapi selama ini semata-mata buatmu. Itulah hatiku dan cintaku, membuatkan aku tersedar dari lenaku yang panjang.

Aku telah dididik ibu semenjak kecil agar menjaga maruah dan mahkota diriku kerana Allah telah menetapkannya untuk suamiku, iaitulah dirimu suatu hari nanti. Kata ibu, tanggungjawab ibubapa terhadap anak perempuan ialah menjaga dan mendidiknya sehingga seorang lelaki mengambil alih tanggungjawab itu dari mereka. Jadi, kau telah wujud dalam diriku sejak dulu lagi. Sepanjang umurku ini.

Aku menutup pintu hatiku daripada mana-mana lelaki kerana aku tidak mahu membelakangimu. Aku menghalang diriku dari mengenali mana-mana lelaki kerana aku tidak mahu mengenali lelaki lain selainmu, apatah lagi memahami mereka. Kerana itulah aku sedaya kudrat yang lemah ini membatasi pergaulanku dengan bukan mahramku. Aku sering sahaja berasa tidak selamat diperhatikan lelaki. Bukanlah aku menyangka buruk terhadap mereka, tetapi lebih baik aku berjaga-jaga kerana contoh banyak di depan mata. Apabila terpaksa berurusan dengan mereka, akan aku buat ‘expressionles face’ dan ‘cool’. Akan aku palingkan wajahku daripada lelaki yang asyik merenungku ataupun cuba menegurku. Aku seboleh-bolehnya melarikan pandanganku daripada ajnabi kerana pesan Sayyidatina ‘Aisyah R.A ;

“sebaik-baik wanita ialah yang tidak memandang dan dipandang”

Aku tidak ingin dipandang cantik oleh lelaki. Biarlah aku hanya cantik di matamu. Apa guna aku menjadi idaman ramai lelaki sedangkan aku hanya boleh menjadi milikmu seorang. Aku tidak merasa bangga menjadi rebutan lelaki bahkan aku merasa terhina diperlakukan sebegitu seolah-olah aku ini barang yang boleh dimiliki sesuka hati. Aku juga tidak mahu menjadi punca kejatuhan seseorang lelaki yang dikecewakan lantaran terlalu mengharapkan sesuatu yang tidak dapat kuberikan.

Bagaimana akan aku jawab di hadapan Allah kelak andai disoal?

Adakah itu sumbanganku kepada manusia selama hidup di muka bumi?

Kalau aku tidak ingin kau memandang perempuan lain, aku dululah yang perlu menundukkan pandanganku. Aku harus memperbaiki kelemahan dan menghias peribadiku kerana itulah yang dituntut Allah. Kalau aku inginkan lelaki yang baik menjadi suamiku, aku juga perlu menjadi perempuan yang baik.

Bukankah Allah telah menjanjikan perempuan yang baik itu untuk lelaki yang baik?

Tidak dapat aku nafikan, sebagai remaja aku memiliki perasaan untuk menyayangi dan disayangi. Namun, setiap kali perasaan itu datang, setiap kali itulah aku mengingatkan diriku bahawa aku perlu menjaga perasaan itu kerana ia semata-mata untukmu. Allah telah memuliakan seorang lelaki yang bakal menjadi suamiku untuk menerima hati dan perasaanku yang suci. Bukan hati yang menjadi lebihan lelaki lain. Lelaki itu berhak mendapat kasih yang tulen, bukan yang telah dibahagi-bahagikan.

Diriku yang sememangnya lemah ini diuji Allah apabila seorang lelaki secara tidak sengaja mahu berkenalan denganku. Aku secara keras menolak, pelbagai dalil aku dikemukakan, tetapi dia tidak mahu mengalah. Lelaki itu tidak hanya berhenti di situ. Dia sentiasa menghubungi dan menggangguku. Aku berasa amat tidak tenteram, seolah-olah seluruh hidupku yang ceria selama ini telah dirampas dariku. Aku tertanya-tanya adakah aku berada di tebing kebinasaan. Aku beristighfar memohon keampunan-Nya. Aku juga berdoa agar Dia melindungi diriku daripada sebarang kejahatan. Kehadirannya membuatkan aku banyak memikirkanmu. Kau kurasa seolah-olah wujud bersamaku. Di mana sahaja aku berada, akal sedarku membuat perhitungan denganmu. Aku tahu lelaki yang melamarku itu bukan dirimu. Malah aku yakin pada gerak hati, ‘woman intuition’ku yang mengatakan lelaki itu bukan kau.

Aku bukanlah seorang gadis yang cerewet dalam memilih pasangan hidup. Siapalah diriku ini untuk memilih berlian sedangkan aku hanya sebutir pasir yang wujud di mana-mana. Tetapi aku juga punyai keinginan seperti gadis lain, dilamar lelaki yang bakal dinobat sebagai ahli syurga, memimpinku ke arah tuju yang satu. Tidak perlu kau memiliki wajah seindah Nabi Yusuf A.S yang mampu mendebarkan jutaan gadis untuk membuatku terpikat. Andainya kaulah jodohku yang tertulis di Luh Mahfuz, Allah pasti mencampakkan rasa kasih di dalam hatiku, jua hatimu kali pertama kita berpandangan. Itu janji Allah. Akan tetapi, selagi kita tidak diikat dengan ikatan yang sah, selagi itu jangan kau zahirkan perasaanmu itu kepadaku kerana kau masih tidak mempunyai hak untuk berbuat begitu. Juga jangan kau lampaui batasan yang telah ditetapkan syara’. Aku takut perlakuanmu itu akan memberi impak yang tidak baik dalam kehidupan kita kelak. Permintaanku tidak banyak, cukuplah dirimu yang diinfak seluruhnya pada mencari redha Ilahi.


Aku akan berasa amat bertuah andai dapat menjadi tiang seri ataupun sandaran perjuanganmu. Bahkan aku amat bersyukur pada Ilahi kiranya akulah yang ditakdirkan meniup semangat juangmu, menghulurkan tanganku untuk berpaut sewaktu rebah atau tersungkur di medan yang dijanjikan Allah dengan kemenangan atau syahid itu. Akan aku kesat darah dari lukamu dengan tanganku sendiri. Itulah impianku. Aku pasti berendam airmata darah andainya engkau menyerahkan seluruh cintamu padaku. Bukan itu yang aku impikan. Cukuplah kau mencintai Allah dengan sepenuh hatimu. Kerana dengan mencintai Allah kau akan mencintaiku kerana-Nya. Cinta itu lebih abadi dari cinta insan biasa. Moga cinta itu juga yang akan mempertemukan kita kembali di syurga.

Aku juga tidak ingin dilimpahi kemewahan dunia. Cukuplah dengan kesenangan yang telah diberikan ibubapaku dulu. Apa guna kau menimbun harta untuk kemudahanku sekiranya harta itu membuatkan kau lupa pada tanggungjawabmu terhadap agamamu. Aku tidak akan sekali-kali bahagia melihatmu begitu. Biarlah kita hidup di bawah jaminan Allah sepenuhnya. Itu lebih bermakna bagiku.

Dariku,
Bakal isterimu

Wednesday, December 15, 2010

..::wahai sahabatku yang kecewa::..

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Demi Tuhanku yang diriku di bawah penguasaan-Nya dan sentiasa dalam pengawasan-Nya, aku tidak menulis melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Nya dan dengan izin-Nya. Sesungguhnya aku menulis dengan penuh kasih sayangku kepadamu sebagai seorang sahabat, sebagai seorang saudara seagamaku. Aku tidak inginkan melainkan kebaikan bagi dirimu dan bagi diriku agar kita sama-sama beroleh syurga yang sangat kita impikan di pengakhiran sebuah perhitungan.

Wahai sahabatku,
Cinta itu letaknya di hati dan hati itu milik Allah. Tidak mungkin kita dapat menyentuh hati seseorang tanpa izin Allah dan jika Allah tidak mengkehendaki. Tidak patut kita serahkan hati kita yang dimiliki Allah itu kepada orang lain untuk dikuasai atau diperintah. Bahkan memang sepatutnya kita serahkan jiwa dan raga kita seluruhnya kepada Allah. Adapun rasa cinta yang lahir sesama manusia itu hanya jalan menuju cinta Allah. Janganlah sekali-kali kita menukarkan tujuan cinta di hati yang sepatutnya untuk Allah kepada manusia hanya kerana kita dapat melihat kecantikan manusia dan kita tidak dapat melihat Allah, kita cuma merasa dan melihat kecantikan segala ciptaan-Nya. Kita lupa dan selalu tidak sedar hakikat segala kecantikan itu adalah milik Allah. Jadikanlah cinta kepada manusia itu sebagai jalan menuju Tuhan, bukan matlamat dan pengakhiran destinasi cinta. Maka engkau akan lebih tenang menerima segala penolakan.

Wahai sahabatku,
Hati kita meronta untuk mencintai dan dicintai. Alangkah remuk redamnya hati tatkala apa yang kita cintai tidak kita miliki. Alangkah kecewanya jiwa tatkala cinta kita tidak dibalas oleh orang yang kita cintai. Ternyata hati itu bukan milik kita, ia milik Allah. Kita tidak bersalah tatkala cinta itu lahir terhadap seseorang, tetapi kita keterlaluan tatkala kita memaksa ia kepada seseorang. Bukankah sepatutnya kita redha dengan ketentuan Allah yang tidak menumbuhkan cinta terhadap kita di hati orang yang kita cintai? Alangkah zalimnya kita tatkala kita tidak dapat menerima apa yang telah ditetapkan oleh Allah. Sedangkan saban hari kita sering tidak menghargai cinta Allah, kita tidak pula membalas segala anugerah cinta yang Allah berikan kepada kita pada setiap hembusan nafas, pada setiap detik kehidupan yang kita lalui. Bukankah Allah lebih layak untuk murka kepada kita kerana kita tidak membalas-Nya dengan ketaatan yang sepatutnya?
 



Wahai sahabatku,
Allah menjanjikan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik. Yakinlah akan janji Allah, sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji. Perbaikilah setiap inci kehidupanmu agar engkau termasuk di kalangan orang yang beroleh pasangan yang baik. Allah tahu tentang dirimu lebih daripada engkau sendiri. Maka Allah telah menetapkan untukmu lebih baik daripada apa yang engkau kehendaki. Boleh jadi engkau cintakan sesuatu tetapi ia buruk bagimu dan begitu juga sebaliknya. Pada setiap persimpangan kehidupanmu, apakah engkau merasakan bahawa Allah tiada bersamamu? Bahkan dia sentiasa mendengar dan melihatmu. Persoalannya, apakah engkau sudah merintih pada-Nya, meminta pada-Nya dan memperlihatkan apa yang sepatutnya kepada –Nya? Aku berlindung dengan Allah daripada menjadi hamba yang kufur dan lupa diri.

Wahai sahabatku,
Sungguh cinta itu telah menjadi faktor yang dapat mengubah sesuatu kepada lebih baik atau sebaliknya. Ada manusia biasa yang berubah menjadi wali kerana kuasa cinta, dan ada pula yang bisa menjadi hina kerana dikuasai cinta. Ya, tamadun itu berkembang dan boleh jadi hancur kerana cinta. Tidakkah engkau melihat Taj Mahal yang terbina kerana cinta? Sebaliknya, ada pula yang membunuh kerana cinta. Persoalanku kepadamu, apakah engkau ingin berubah kerana cinta ke arah Redha Allah atau mungkin lebih jauh daripada Allah?

Wahai sahabatku,
Aku tidak mengatakan bahawa aku mengetahui segala isi hatimu atau segala kekacauan yang mengisi jiwamu. Aku cuma ingin berpesan agar engkau tidak meletakkan keinginanmu lebih tinggi daripada ketentuan Allah. Aku ingin engkau mengerti bahawa milik Allahlah segala kejadian. Kemudiannya aku ingin engkau membawa kefahaman tersebut kepada pengamalan dalam kehidupan yang kau lalui agar ia hidup bersamamu di dalam setiap inci kehidupan. Janganlah engkau mengatakan bahawa engkau mentaati Allah di saat hidupmu bergelumang dengan jahiliah. Aku juga sepertimu, anak muda yang bergelora jiwanya. Maka aku berpesan kepadamu agar aku juga dipelihara Allah daripada segala penyelewengan dalam memahami hakikat cinta. Aku memohon keampunan kepada Allah atas segala kesalahan yang kuungkapkan dan kumohon kau doakanlah kebahagiaanku di dunia dan di akhirat. Moga kita dipertemukan Allah untuk hidup di syurga yang kekal selama-lamanya.

Wahai sahabatku yang kecewa,
Bersabarlah…

Tuesday, December 14, 2010

Hakikat Akhlak Seorang Muslim..

"Apa yang sebenarnya dituntut dari kita ialah supaya membuat segala kebaikan dan mencapai segala kejayaan tetapi dalam pada itu kita diwajibkan mengekalkan rasa-rasa hamba di hati kita. Perbuatan lahir mesti positif. Rasa di hati mesti negatif. Dalam amalan hati, yang negatif itulah sebenarnya positif. Itulah akhlak namanya."

Manusia mempunyai roh. Roh itu dinamakan juga jiwa atau hati. Hati ialah untuk merasa. Maka dengan hati, manusia mengalami berbagai-bagai rasa dan manusia merasakan berbagai-bagai perkara. Di antara banyak rasa-rasa yang timbul di hati manusia termasuklah rasa sombong, angkuh, tinggi diri, rasa mulia, hebat, berkuasa, baik, pandai, rasa tidak bersalah, rasa kuat, rasa bangga dengan keturunan, kekayaan, pangkat dan nama, rasa tidak berdosa, rasa tidak apa-apa dengan Tuhan, rasa tidak apa-apa dengan mati, rasa tidak apa-apa dengan Neraka, rasa akan masuk Syurga dan sebagainya. Semua ini dinamakan rasa-rasa ketuanan.

Ada pula rasa rendah diri, rasa lemah, rasa hina, rasa berdosa, rasa bersalah, rasa cemas, rasa takut dan rasa bimbang dengan Tuhan, dengan mati dan dengan Neraka, rasa dhoif, rasa jahil, rasa tidak mampu, rasa bergantung harap dengan Tuhan dan sebagainya. Semua ini dinamakan rasa-rasa kehambaan.

Dalam pada itu, apa yang dapat kita lihat, orang yang merasakan dirinya mulia tidak semestinya mulia. Yang merasakan dirinya hebat, tidak semestinya hebat. Yang merasa dirinya baik, tidak semestinya baik, yang merasakan dirinya pandai, tidak semestinya pandai. Orang yang merasakan dirinya tidak berdosa pula, bergelumang dengan dosa, pagi, petang, siang dan malam. Sembahyang pun tidak.

Kita lihat pula orang yang merasakan dirinya hina, tetapi dia sangat dihormati dan disayangi oleh manusia. Akhlaknya mulia dan disenangi orang. Yang merasakan dirinya lemah, telah banyak mencetuskan berbagai pembangunan dan kejayaan. Yang merasakan dirinya berdosa, sangat taat dengan Allah dan patuh dengan kehendak agama. Yang merasakan tidak berilmu telah banyak mengajar dan mendidik orang. Banyak pula buku-buku atau kitab-kitab yang ditulisnya.

Jelas pada kita bahawa rasa-rasa yang timbul di hati manusia hanyalah semata-mata rasa-rasa sahaja yang tidak semestinya ada kaitan dengan realiti sebenar orang yang berkenaan. Apa yang dirasakan tidak semestinya mencerminkan perbuatan, sifat, keadaan dan amalan lahir orang tersebut.

Orang yang merasakan dirinya baik mungkin jahat dan orang yang merasakan dirinya jahat mungkin baik. Orang yang merasakan dirinya pemurah mungkin bakhil dan yang merasakan dirinya bakhil mungkin pemurah. Orang yang merasakan dirinya ikhlas mungkin berkepentingan dan yang merasakan dirinya berkepentingan mungkin ikhlas.

Jadi yang perlu kita fahami ialah:

1. Sesiapa yang merasakan dirinya baik, hakikatnya dia jahat kerana telah menganggap dirinya mulia dan telah melakukan dosa batin atau dosa hati, walaupun dalam hidupnya dia memang baik. Lagi-lagilah kalau dalam hidupnya dia jahat.

2. Siapa yang merasakan dirinya tidak berdosa dia sudah melakukan dosa, kerana merasakan diri tidak berdosa itu ialah satu dosa, walaupun dia tidak membuat dosa dalam hidupnya. Lagi-lagilah kalau dia memang membuat dosa.

3. Siapa yang merasakan dirinya mulia hakikatnya hina dan telah melakukan dosa kerana merasakan diri mulia itu ialah juga satu dosa.

4. Siapa yang merasa dirinya ikhlas sebenarnya tidak ikhlas dan merasakan diri ikhlas itu satu sifat mazmumah. Begitulah seterusnya. Segala rasa-rasa ketuanan yang bersarang di hati seperti rasa sombong, angkuh, tinggi diri, hebat, pandai, rasa tidak berdosa, tidak bersalah, tidak cemas, tidak takut atau tidak bimbang dengan Tuhan, dengan mati dan dengan Neraka, itu semua boleh mendatangkan dosa.

Dosa batin atau dosa hati namanya. Rasa-rasa ini menggelapkan hati, menyuburkan mazmumah dan menjauhkan kita dari Tuhan. Orang yang mengekalkan rasa-rasa ketuanan seperti ini sebenarnya telah melakukan syirik khafii (syirik kecil) kerana mahu berkongsi sifat dengan sifat-sifat kemuliaan Tuhan.

Apa yang sebenarnya dituntut dari kita ialah supaya membuat segala kebaikan dan mencapai segala kejayaan tetapi dalam pada itu kita diwajibkan mengekalkan rasa-rasa hamba di hati kita.

Justeru itu, buatlah segala kebaikan tetapi rasakanlah yang kita ini jahat. Elaklah dari membuat dosa tetapi rasakanlah di hati yang kita ini terlalu banyak dosa. Jangan berbuat jahat dan kesalahan, tetapi rasakanlah yang kita ini jahat dan bersalah. Rasakanlah diri kita ini hina walaupun kita dimuliakan manusia. Rasakanlah kita ini jahil walaupun kita ada ilmu.

Walaupun kita digalakkan mengikut sesetengah sifat Tuhan seperti pemurah, pemaaf, penyantun, pengasih, penyayang dan lain-lain lagi tetapi kita ditegah merasakan yang diri kita pemurah, pemaaf, pengasih dan sebagainya. Apa yang kita amalkan secara lahir itu lain tetapi apa yang kita rasakan di hati itu lain pula.

Akhlak itu ada dua. Ada akhlak lahir dan ada akhlak batin atau hati. Pemurahlah dengan manusia tetapi di sisi Allah rasakan yang kita ini bakhil. Berbuat baiklah kepada manusia tetapi rasakan yang kita ini jahat. Carilah ilmu hingga jadi alim tetapi rasakan yang kita ini jahil. Biarkanlah manusia memuliakan kita tapi rasakanlah dalam hati kita yang kita ini hina di sisi Tuhan. Kekalkan rasa takut, cemas dan bimbang dengan Tuhan, dengan mati dan dengan Neraka walaupun kita telah bertungkus-lumus melakukan taat kepada Tuhan.
Siapa yang merasakan dirinya hina, adalah mulia di sisi Tuhan. Siapa yang merasakan dirinya berdosa, diampunkan dosanya oleh Tuhan. Siapa yang rasa bersalah, dimaafkan oleh Tuhan. Siapa yang rasa jahil sebenarnya berilmu kerana natijah orang yang alim itu, dia merasakan dirinya jahil di sisi Tuhan. Dan begitulah seterusnya jongkang-jongkit di antara amalan lahir dan amalan hati. Perbuatan lahir mesti positif. Rasa di hati mesti negatif. Dalam amalan hati, yang negatif itulah sebenarnya positif. Itulah akhlak namanya.

Tuesday, December 7, 2010

Antara Pengorbanan ILMU dan CINTA

Kisahnya bermula dengan sepasang Hafiz dan Hafizah yang berkenalan atas dasar cinta agama yang ada pada diri mereka dan mereka adalah Mohd (bukan nama sebenar) dan Aisyah (bukan nama sebenar).

Perkenalan kami bermula dengan aku begitu tertarik dengan agama yang ada pada diri Aisyah. Pertemuan pertama kami begitu mengujakan. Pertama kali dalam hidupku berjumpa dengan gadis yang begitu pemalu dan menjaga pandangan matanya. Ya, dalam tersenyum pada ketika itu juga aku teringat pada lirik lagu Kasih-Kekasih In-team ‘Wanita Hiasan Dunia, Seindah Hiasan Adalah Wanita Solehah’. Lamunanku terhenti bila Ustaz Zack masuk ke bilik kuliahku untuk madah Qiraat Ilmi.

Sejak detik itu aku sering memerhatikannya perwatakan gadis solehah yang menjadi idaman hatiku sekian lama. Aku cuba merisik khabar berita bertanya sama ada bunga idamanku sudah berpunya atau belum. Ternyata setelah dirisik, aku masih berpeluang untuk menjadi kumbangnya. Namun aku tidak berani untuk mendekati dirinya, bukan kerana takut. Tapi kerana segan dengan kekurangan diriku. Siapalah aku kalu dibandingkan dengannya. Dia belajar disekolah Arab tersohor di sebelah Utara. Sedangkan aku hanya seorang pemuda yang baru nak bertatih belajar agama.

Ya benar aku juga belajar di sekolah agama, tapi itu dulu 4 tahun lepas. Sudahlah madah-madah arab seperti di Sekolah Arab aku tidak belajar, Bahasa Arab Tinggi aku pun hanya mendapat 8E. Pastinya aku berasa cukup kerdil untuk mengenalinya. Terus aku pendamkan saja niat baikku untuk menjadikannya suri dihati. Alhamdulliah takdir Allah telah menentukan segalannya. Aku mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan akhir semesterku. Keputusan itu memberi sedikit kekuatan untukku mengenalinya.

Aku mengunakan sahabatku sebagai orang tengah untuk menyampaikan hasrat hatiku. Ternyata cintaku berbalas. Cuma katanya aku boleh mengenalinya setelah mendapat izin dari orang tuanya. Ya Allah cukup besar kurniaanmu ini. Seorang gadis yang taat dan patuh pada Tuhan dan kedua ibubapanya. Setelah mendapat restu daripada ibubapaku, aku bersedia untuk bertentang mata dengan ibubapanya. Aku masih ingat ketika itu Jam tepat pukul 10.30 pagi.
Sebelum berangkat aku menunaikan solat hajat 2 rakaat memohon agar dipermudahkan pertemuan ini. Dengan penuh pengharapan aku berdoa pada tuhan yang memberi cinta ini padaku. Andai benar ada jodoh antara kami, maka satukanlah hati kami menjadi satu. Andai tiada jodoh antara kami aku mohon agar kau selesaikan perkara ini dengan baik. Alhamdulillah, aku berasa sedikit tenang akan luahan rasa pada tuhanku yang maha satu. Aku ditemani oleh temanku yang juga seusia denganku. Dia begitu memahami dilemaku. Mungkin kerana kami sama-sama sudah berusia.

Perjalananku ke rumah Aisyah sedikit bermasalah kerana alamatnya sedikit sukarku fahami. Namun setelah sejam akhirnya kami tiba disambut oleh Abi (panggilan Aisyah pada Ayahnya). Abi seorang ramah dan baik hati. Keadaan itu membuatkanku sedikit tenang. Apa yang menarik tentang Abi, dia mempunyai Fikrah Islam walaupun profesionnya bukanlah dibidang agama. Aku cukup kagum. Dan dari situ aku sedar bahawa sahsiah Aisyah bertitik tolak dari biah keluarganya yang memberikan tarbiah yang mantap tentang agama.

Benar sabda nabi kita. Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah semulajadi. Ibu Bapalah yang menjadikannya Yahudi atau Kristian atau Majusi. (Riwayat Muslim, Bab Qadar No 2658)Perbualanku kami berkisar soal hasratku terhadap Aisyah. Abi memberitahu dia faham akan hasrat baikku. Dan katanya ini sunnah. Namun nasihatnnya, aku perlu sedar kerana sunnah ini sedikit sukar untuk dilaksanakan berbanding sunnah-sunnah yang lain kerana terlalu banyak dugaan yang akan kunjung tiba dan memerlukan hati yang cukup sabar. Diakhir perbualan kami, Abi merestui hubungan ini dan menunggu perbincanganku dengan keluargaku tentang perkara ini.

Akhirnya setelah beberapa ketika ayah dan ibuku datang untuk merisik Aisyah. Aku menyatakan hasratku pada ibuku yang kami ingin kawin awal. Aku takut kalau pertunangan kami diikat lama-lama akan menganggu tumpuanku pada Al-Quran. Lagilah pula umurku sudah lewat untuk menghafaz Quran. Untuk mendapatkan Tasmi’ Quranku setiap hari, aku memerlukan masa hampir 5 jam untuk sehelai Quran. Cukup-cukup berat.

Kadang-kadang aku menangis sendirian mengenangkan sukarnya untukku menghafaz Quran. Mujurlah ada teman-temanku yang sudah Hafiz sebelum ini memberi semangat padaku bahawa semua ini dugaan biasa bagi seorang yang akan diberikan amanat untuk menjaga Kalam Allah. Pastinya Allah akan memberi dugaan yang berat bagi menguji sejauh mana komitmenku untuk menghafaz Quran. Ibu diam seketika. Ibu merenung jauh ke dalam mataku. Perlahan air matanya mengalir sayu.

"Kenapa ibu?" Tanyaku.

Dengan nada sebak ibu bersuara. “Ibu takut semua itu akan menganggu pengajianmu, Namun insyaallah ibu akan usahakan”. ~dipetik dari satu artikel~

..::HAWA,,,kerana dirimu begitu berharga::..

HAWA
Gadisku, sesungguhnya kejadianmu terlalu unik, tercipta dari tulang rusuk adam yang bengkok menghiasi taman-taman indah lantas menjadi perhatian sang kumbang. Kau umpama sekuntum bunga, harum aromamu bias menarik sang kumbang untuk mendekatimu. Namun...tidak semua bunga senang didekati sang kumbang
lantaran duri yg memagari diri, umpama mawar merah, dari jauh sudah terhidu keharumannya. Penahan warnanya yg terselah indah mengundang kekaguman kepada sang kumbang berfikir beberapa kali untuk mendekatinya.

Gadisku, aku suka sekiranya kau seperti mawar aspirasi setiap mujahadah.
Bentengilah kubu dirimu dengan perasaan malu yg bertunjangkan keimanan dan
keindahan takwa kepada Allah...hiasilah wajahmu dengan titisan wuduk.
Ingatilah ciri-ciri seorang wanita solehah ialah dia tidak melihat lelaki
dan lelaki tidak melihat kepadannya. Sesuatu yg tertutup itu lebih berharga
jika dibandingkan dengan sesuatu yg terdedah, umpama sebutir permata yg
didedahkan untuk perhatian umum dengan suatu permata yg diletakkan dalam
bekas tertutup. Sudah pasti keinginan naluri lebih kuat untuk melihat
sesuatu yg tersembunyi, melebihi sesuatu yg terdedah. Wanita solehah yg
patuh dan taat kepada AL-Khaliq dalam melayari liku-liku kehidupannya
adalah harapan setiap insan yg bernama Adam. Namun segalanya memerlukan
pengorbanan dan mujahadah yg tinggi kerana bertentangan dengan nafsu
serakah yg bersarang dalam dirimu. Lebih-lebih lagi dgn title gadis yg
engkau miliki, sudah pasti darah mudamu mencabar rasa keimanan yg ada.
Namun ingatlah gadisku...sesiapa yg inginkan kebaikan, maka Allah akan
memudahkan jalan-jalan baginya ke arah itu. Yang penting gadisku engkau
miliki azam, usaha dan istiqamah..

Gadisku, akuilah dirimu menjadi fitnah kpd kebanyakan lelaki. Seandainya
pakaian malumu kau tanggalkan dari tubuhmu, maka sudah tidak ada perisai yg
dapat membetengimu. Sesungguhnya Nabi ada mengatakan bahaya dirimu "tidak
ada suatu fitnah yang lebih besar, yg lebih bermaharajalela selepas wafatku
terhadap kaum lelaki selain fitnah yg berpunca dari kaum wanita." Oleh itu
gadisku, setiap langkah dan tindakanmu hendaklah berpaksikan Al-Quran dan
As-Sunah. Jgn biarkan sekali sesiapa mengeksploitasikan dirimu untuk
kepentingan tertentu. Sesungguhnya Allah Taala telah mengangkat martabatmu
setaraf kaum Adam. Kau harapan ummah dalam melahirkan para mujahid dan
mujahidah yg bakal menggocang dunia dgn sentuhan lembut tanganmu.

Gadisku, dalam hidupmu engkau ingin menyayangi dan disayangi. Itulah fitrah
semulajadi setiap insan, namun ramai antara kaummu yg tewas kerana
cinta....bercinta tidak salah, tetapi memuja cinta itu salah. Ini adalah
kerana, kerana cinta manusia sanggup menjual agama dan kerana cinta maruah
tergadai. Gejala murtad serta keruntuhan moral muda-mudi sebahagian
besarnya kerana cinta. Benarlah sabda Rasulullah membawa maksud,
"Sesungguhnya cinta itu buta." Cinta itu mampu membutakan mata dan hatimu
dalam membezakan perkara yg hak dan baril, jika engkau meletakkan cinta itu
atas dasar nafsu semata-mata dan bukan kerana Allah swt. Sebelum engkau
mendekati cinta, cintailah dirimu terlebih dahulu. Cintailah dirimu yg unik
itu dgn mengkaji hakikat kejadianmu yg begitu simbolik. Asal kejadian dari
setittis air yg tidak berharga, lalu mengalami proses pembentukkan yg
sempurna hasil rencana ALLAH. Semoga perasaan sebegitu dapat melahirkan
rasa keagungan dan kehebatan terhadap Allah dan dgn itu akan timbul cinta
dan kasihmu terhadap penciptamu.

Gadisku, menyintai Allah dan Rasul melebihi cinta terhadap makhluk adalah
cinta yg hakiki dan abadi.