Monday, July 25, 2011

Risaunya Hati!!!

Cemburu..

Itulah sifat yang terlalu akrab dengan seorang wanita. Sebab itu, hati para wanita ini perlu dibelai, dikasihi, dijaga sebaik-baiknya agar tidak terluka. Wanita, apabila hati sudah terluka sudah pasti lambat sembuhnya. Jika tidak kena pada caranya, hati wanita ini boleh bernanah dengan begitu teruk. Disinilah suami perlu bijak memainkan peranan. Memujuk tanpa jemu, ikutilah sunnah-sunnah nabi. Bagaimana Rasulullah S.A.W berjaya menggembirakan hati isteri-isteri baginda sebelum ini.

Lelaki juga apa kurangnya walaupun jarang-jarang cemburu tetapi apabila sesekali cemburu begitu hebat penangannya. Tetapi sangat sedikit lelaki yang mengaku bahawa dia sedang cemburu. Mungkin ego itu yang menghalang mereka daripada berterus terang. Mungkin kah?

Suami isteri selalunya bersengketa hanya kerana cemburu. Cemburu kadang-kadang boleh mendatangkan bahagia, tapi ianya lebih banyak cenderung kepada pergaduhan. Cemburu yang mendatangkan pergaduhan ini selalunya merupakan cemburu buta, jika tidak pun kemungkinan besar ada orang yang ketiga yang wujud dan sengaja menimbulkan pergaduhan antara suami isteri ini agar masing-masing bergaduh antara satu sama lain dan kemudian bercerai berai. Nauzubillah!



Apa yang ingin dikongsikan tentang sifat ini ialah mengenai pasangan yang terlalu memikirkan tentang perhubungan. ikuti luahan sebenar hati seorang insan bernama wanita:

Aku bahagia bertemu dengan si dia. Ilmunya, akhlaknya sangat aku kagumi. Dia seorang yang lemah-lembut terhadap wanita. Perkenalan dengannya yang tidak begitu lama akhirnya telah menyatukan kami sehingga ke ambang perkahwinan. Aku sangat bahagia bersamanya.

Tapi, di saat aku terlalu menyayanginya. Allah menguji keimanan ku. Aku dapat tahu dahulunya dia pernah menyayangi seorang wanita sebelumku, aku cemburu dengan itu.

Kemudian, aku mendapat tahu lagi perkara-perkara yang lalu tentangnya. Aku menjadi semakin gelisah, hatiku resah tidak menentu. Dahulu,bakal suamiku seorang insan biasa. Dia hanya berada di sekolah menengah agama setakat tingkatan lima sahaja dan selepas itu dia terus menggapai kerjaya dalam bidang ketenteraan. Menempuh sebuah kehidupan di Negeri Sembilan selama 6 bulan untuk bergelar seorang perajurit muda dalam Kor-KAGAT.Sebelum mengenaliku, dia telah dibukakan mata hatinya untuk berubah mencari yang hakiki. Atas dasar keimanannya itu, aku jatuh cinta padanya. Ketika diberitahu dia meminangku, aku tersenyum syukur. Aku memilihnya kerana nilai agama yang ada dalam dirinya. Masya-Allah!

Ketika aku menerima pinangannya, aku tidak mengetahui langsung sejarah hidupnya. Dihadapanku ketika itu dia adalah seorang lelaki soleh, yang aku cintai dan terima seadanya. Sungguh tenang, seakan bercahaya wajahnya. Tapi, bila saat sejarah-sejarahnya dahulu diketahui olehku, aku menjadi bingung. Terngiang-ngiang ditelingaku pengakuan bakal suamiku kepadaku bahawa suatu masa dahulu dia seorang yang kerap bersosial. Dia pernah berkawan dengan beberapa wanita lain yang berbeza. Aku menjadi terlalu cemburu dan agak marah ketika itu semuanya kerana aku berasa tidak adil ke. Aku jadi sedih dan perasaanku bercampur baur.

Kadang-kadang aku menangis merintih pada Ilahi mengapa sifat ini terlalu menikam-nikam jiwa batinku. Aku ingin menjauhi sifat seperti ini. Namun, semakin aku cuba untuk melawan semakin ia kuat mencengkam perasaan. Aku cuba mempositifkan diri dan minda, tetapi masih tidak berjaya. Salahku Ya Allah kerana aku terlalu cemburu?

Tatkala terbayang keadaan bakal suamiku berhubungan dengan wanita lain dan terbayang saat suamiku bermesra dengan kekasih hatinya, aku jadi semakin sedih. Apa yang aku inginkan ialah suami yang suci, tapi itu mustahil kerana aku telah memilihnya dan aku juga pernah melakukan banyak dosa tanpa disedari.

Hampir setiap saat aku memikirkan perkara ini selepas aku mengetahui kisah silamnya. Kepalaku jadi serabut yang teramat. Tetapi hubunganku dengannya tetap berjalan seperti biasa. Sungguh, aku tidak berani menyuarakan perasaan cemburuku ini padanya. Apabila kulihat mukanya kelihatan risau dan ingin meminta nasihat dan semangat setelah berpenat-lelah berjuang dan berdakwah di luar, aku memberikannya kata-kata semangat, walaupun di hati aku sedih dengan kisah silamnya tetapi aku cuba lupakannya demi cintaku padanya.

Hinggalah pada suatu detik, aku teringat akan kisah srikandi Islam yang mulia iaitu 'Aisyah'. Beliau adalah salah seorang isteri Rasulullah S.A.W yang paling muda dan yang paling kuat sifat cemburunya.

Pernah suatu hari, salah seorang isteri Baginda S.A.W datang berkunjung ke rumah Baginda ketika mana giliran Baginda untuk bersama Aisyah. Isteri Baginda S.A.W ketika itu hanya ingin memberikan sedulang makanan kepada suaminya dan madunya, 'Aisyah. Apabila 'Aisyah ingin menyambut makanan tersebut beliau sengaja menjatuhkan makanan itu. Dan, hal ini segera ditegur oleh Baginda S.A.W. Lalu Baginda S.A.W menasihati isterinya dan meminta agar 'Aisyah meminta maaf kepada madunya itu.

Ada juga kisah mengenai sifat cemburu 'Aisyah di mana Rasulullah S.A.W acapkali menyebut-nyebut tentang Saidatina Khadijah di hadapannya. Sehingga beliau pernah bertanya kepada Rasulullah SAW mengapa Baginda selalu menyebut-nyebut tentang Saidatina Khadijah sedangkan Saidatina Khadijah sudah wafat. Lalu Baginda S.A.W bersabda bahawasanya Saidatina Khadijah ialah seorang wanita Islam yang terlalu banyak berkorban demi agama.

Kini, tersedar ku dari lamunan. Aku sedar, sifat ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Aku perlu kawal perasaan ini, bukan lawan. Kerana sifat ini merupakan fitrah insani. Cuma ianya perlu dikawal dengan sebaiknya.

Walaupun begitu. Aku tahu bahawa bakal suamiku sudah banyak berubah. Semenjak aku mengenali dia, dia sudah banyak berubah. Dia hanya berurusan dengan wanita apabila terdapat urusan penting sahaja. Alhamdulillah. Aku sepatutnya bersyukur ke hadrat Ilahi. Dia sudah berubah dan dia bukanlah dia yang sebelum ini.

Dia selalu berpesan agar jangan diingatkan kisah yang lepas kerana kisah itu hanya kisah silam yang menjadi epilog silamnya. Memang benar apa yang dia katakan. Aku akan cuba berubah menjadi isteri yang solehah dan tidak memikirkan perkara-perkara lampau itu lagi!

Kini aku berdoa agar dikurniakan sikap yang lebih positif agar hatiku tenang bila bersamanya. Aku ingin sekali kami memupuk sikap saling percaya antara satu sama lain kerana bagiku kepercayaan itu penting dalam membina sebuah mahligai rumah tangga suami. Kami juga akan sedaya-upaya membina keluarga sakinah di mana keluarga itu yang sentiasa mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya. Pada pandanganku, apabila kita yakin dengan ajaran Islam (amal,ilmu,akhlak,hubungan suami dengan Allah terjaga), secara automatiknya kita akan yakin dengan perhubungan kita secara keseluruhannya. Insya-Allah.

Pesananku buat semua pasangan suami isteri, bercintalah kerana-Nya. Cinta itu suci, dan janganlah mengotori hakikat cinta itu. Hargai pasangan kita. Dan, jagalah hati pasangan kita sebaik-baiknya. Jika telah dikurniakan suami yang soleh dan baik, bersyukurlah pada Allah dan doalah agar dia akan kekal begitu. Usahlah cemburu membabi buta kerana kemungkinan besar cemburu itu akan lebih mengeruhkan keadaan yang sedia ada.

Wednesday, July 20, 2011

untukmu suami

Pernikahan atau perkahwinan,
Menyingkap tabir rahsia,
Isteri yang kamu nikahi,
Tidaklah semulia Khadijah,
Tidaklah setaqwa Aisyah,
Pun tidak setabah Fatimah,
Justeru, isterimu hanyalah wanita akhir zaman,
Yang punya cita-cita menjadi solehah.
Pernikahan atau perkahwinan,
Mengajar kita kewajipan bersama,
Isteri menjadi tanah, dalam pernikahan atau perkahwinan,
Kamu langit penaungnya,
Isteri ladang ternakan, kamu pemagarnya,
Isteri kiasan ternakan, kamu gembalanya,
Isteri adalah murid, kamu mursyidnya.

Isteri bagaikan anak kecil tempat bermanjanya,
Saat isteri menjadi madu kamu teguklah sepuasnya,
Seketika isteri menjadi racun kamulah penawar bisanya,
Seandainya isteri tulang yang bengkok berhatilah meluruskannya.

Pernikahan atau perkahwinan,
Menginsafkan kita perlunya iman dan takwa,
Untuk belajar meniti sabar dan redha Allah S.W.T,
Kerana memiliki isteri yang tidak sehebat mana,
Justeru, kamu akan tersentak daripada alpa,
Kamu bukanlah Rasulullah S.A.W,
Pun bukanlah Saidina Ali R.A.
Kamu suami akhir zaman yang berusaha menjadi soleh.

Amin...

Tuesday, July 19, 2011

..indahnya saat-saat bersama..

Indahnya saat-saat bersama kamu, walaupun seketika Cuma. Wah, bagai tidak terasa waktu berjalan begitu cepat dan pantas melewati setiap jernih hubungan kita. Walaupun pelbagai ragam kamu yang memerlukan kesabaran yang kuat, ketabahan menghadapi bebelan kamu saban hari, kekentalan melayan karenah sikap keanak-anakanmu, melayan setiap gurauan manja dan senda. Kadangkala bergaduh, kadangkala menangis, kadangkala berduka seorang diri, kadangkala pendam perasaan itu sehingga menjadi duri dalam daging. Ah, jika kamu masih ingat, kita pernah bermalam bersama-sama di bahu jalan Hospital Kuala Lumpur gara-gara ujian yang ingin menimpa dari Allah SWT. Walau apa pun saat itu bila diimbas kembali terasa meresap kejiwa, terkesan di hati, terasa begitu manis sekali.
Indahnya saat-saat bersama kamu, walaupun seketika Cuma tapi aku merasakan ianya amat bermakna sekali bagiku. Banyak perkara aku belajar dari kamu. Dari gaya sebagai kanak-kanak yang tidak mengerti apa-apa aku sudah boleh berkhidmat sebagai seorang suri rumah tatkala kamu tiada di rumah. Lengkap!! Dari tidak pandai memasak, aku sudah boleh lakukan itu. Dari tidak pandai mengemas, sekarang aku juga boleh melakukan itu, dari tidak boleh melipat kain, sekarang semuanya aku boleh lakukan. Itu semua bimbingan dari kamu walaupun kuat juga aku menentang dan memendam rasa dengan kamu.


Indahnya saat-saat bersama kamu, walaupun seketika Cuma tapi semua itu tidak membataskan terjalinnya hubungan rapat antara kita. Ibarat seorang anak dengan mamanya, ibarat seorang adik bersama kakaknya. Kamu menjaga aku bagai menatang minyak yang penuh. Sangat aku hargai semua itu. Teguran dari kamu amat bermakna bagiku. Tidak dinafikan saat itu, terasa amat sakit sekali tapi aku tahu bahawa yang kamu sangat menyayangi aku. Aku tahu kamu kasihkan aku, aku juga tahu kamu mencintai aku sepenuh hati. Aku juga ingin kamu tahu…..aku juga sangat menyayangimu, sangat mengasihimu dan sangat mencintaimu.



Indahnya saat-saat bersama kamu, walaupun seketika Cuma….seketika, aku termenung terkenangkan kamu, saat berada di pejabat Kapt Satar di ILMI, Port Dickson. Biarpun bersebelahan terasa begitu rindu sama kamu. Kadang-kadang, bila kau ungkap nama sahabatmu, aku terasa begitu cemburu sekali, ingin sahaja aku ungkapkan bahawa aku tidak suka kau bawa dia dalam hubungan kita. Tetapi…………….siapalah aku untuk menahan kamu dari semua itu. Siapalah aku pada kamu yang hanya dikenali dalam masa yang singkat, yang selalu menyakiti hatimu, yang selalu bikin kamu dalam keresahan. Siapalah aku…..aku mungkin tidak bernilai apa-apa pun. Tapi, ketahuilah sayangku, aku sangat menyayangi kamu. SAYANG KAMU KERANA ALLAH.