Saturday, November 20, 2010

PURDAH: Hari Pertama Memakainya...::

Saya rasa terpanggil lagi untuk bercerita tentang pengalaman saya pakai purdah setelah melihat perkataan carian mengenai PURDAH adalah yang tertinggi setakat ini dalam blog saya. Saya akan bercerita mengenai pengalaman sahaja dan tidak bermaksud mengemukakan hujjah ilmiah secara terperinci.
Justeru, saya akan bercerita sedikit demi sedikit mengenai pengalaman memakai purdah untuk mereka yang mahu mengetahuinya. Saya cuba mengelak berbincang tentang perbahasan fuqaha’ tentang hukum memakainya. Justeru perbincangan tersebut boleh didapati di dalam kitab-kitab tafsir dan sebagainya.
Sudah tentu saya sayangkan para wanita semua. Lebih-lebih lagi kepada yang sedang pulang kepada Tuhan. Saya harap apa yang baik dijadikan panduan. Apa yang kurang baik dijadikan sempadan. Nasihatilah saya dan berikan alternatif di atas kesilapan saya. Allah jua sebaik-baik pemberi balasan.
Kisah pertama saya ceritakan dalam entri bertajuk ‘Aku dan Purdah’. Kisah kedua ‘Kain Kecil di Wajahmu’. Kali ini kisah ketiga pula.
Pengaruh pertama yang melanda diri saya ialah sahabat-sahabat di kampus yang agak ramai memakai purdah. Wajah mereka berseri dengan cahaya zikrullah dan taat padaNya dan akhlak mereka juga baik memikat. Walaupun ramai juga sahabat yang tidak memakai purdah yang berakhlak mulia namun hati lebih tertarik dengan pemakai purdah. Tambahan pula, mereka yang tidak memakai purdah sebenarnya berhasrat untuk memakainya namun keadaan tidak mengizinkan.
Saya pernah menghadiri kuliah di Pondok Kg Kasar di hujung minggu. Saya lihat Muslimah di sana memakai abaya hitam sama seperti abaya muslimah di Arab Saudi.
Hari pertama saya menghadiri kuliah, saya yang sudah memakai jubah waktu itu terpegun melihat wajah-wajah di sebalik abaya hitam. Ada kawasan khas untuk mereka menyangkut abaya. Mungkin kerana itu majlis ilmu, di dalam abaya mereka memakai sepasang kurung berwarna-warni dan berbunga serta tudung kecil (tudung tiga segi- sebagaimana panggilan umum).
Kebanyakan mereka masih remaja. Masya Allah, wajah mereka berseri-seri penuh ketenangan dan penuh senyuman mesra. Ramai juga berwajah jelita. Namun yang tidak jelita pun, hati tetap senang memandangnya. Iya… justeru mereka mengamalkan zikir yang tetap juga menjaga ibadah yang wajib yang lain.
Mereka datang dari pelbagai negeri di Malaysia. Aduh… jika hati saya yang juga gadis seperti mereka boleh terpegun. Saya tidak tahu jika kaum lelaki yang melihatnya. Allah memelihara kesucian dan maruah mereka dari pandangan nafsu lelaki ajnabi. Alhamdulillah. Moga mereka yang saya lihat waktu itu masih istiqamah di jalan Allah.
Melihatkan sahabat-sahabat memakai purdah dan muslimah Arqam memakai purdah, saya tertanya-tanya kenapa ada wanita berpurdah dan kenapa ada yang tidak. Walaupun hati tertarik namun saya tidak akan lakukan sesuatu perkara kerana ikutan/taqlid membabi buta sama ada pada individu mahu pun jemaah. Tabiat saya suka mencari sebab-musabbab dan hujjah yang wajar.
Saya tahu pandangan Tok Guru Nik Aziz dalam hal ini yang tidak menggalakkan memakai purdah. Saya dapat tahu melalui salah seorang anak saudara Tok Guru yang satu sekolah dengan saya waktu itu.

Hari Pertama Dengan PURDAH…
Mengenang kembali saat pertama saya memakai purdah, ramai sahabat-sahabat terkejut melihat perubahan ini. Saya mengambil keputusan untuk memakai purdah setelah saya membuat penelitian bersama dengan pensyarah-pensyarah serta beberapa orang sahabat yang terlibat membantu dalam membantu saya dan berdasarkan penilitian inilah saya membuat keputusan nekad untuk berpurdah. Terima kasih buat pensyarah-pensyarah dan sahabat-sahabat saya.
Hari pertama saya memakainya ialah hari pertama saya perlu hadir ke kelas ko-kurikulum Rakan Kaunselor yang mana pada hari itu, semua kelas digabungkan dan pelajar lelaki semakin bertambah. Secara ringkasnya, penting bagi saya mengekalkan rasa malu sebagai gadis Islam. Saya ini jenis peramah. Keluarga saya semuanya begitu. Justeru bila pakai purdah, saya terpaksa kawal sikit sifat peramah saya terutama dengan pelajar lelaki.
Saya memakai purdah bukan kerana saya cantik atau merasa diri cantik. Jauh sekali. Saya hanya gadis Melayu biasa-biasa. Namun…ahh… ramai lelaki atau perempuan sendiri menganggap wanita berpurdah ini kerana dia cantik atau merasa diri cantik. Hakikatnya bukan semua begitu. Cantik itu subjektif sifatnya. Ia bergantung pada mata yang memandang dan citarasa seseorang yang Allah jadikan tidak sama. Implikasi persepsi tersebut, bila mereka berpeluang melihat wajah wanita berpurdah dan didapati tidak secantik yang dibayangkan, mereka mula mengutuk atau hati mereka mula didatangi mazmumah mengeji wanita itu. Salah mereka sendiri. Tidak ada siapa yang suruh kita bayangkan apa-apa yang sudah disembunyikan. Ia juga satu khayalan sia-sia yang tidak akan menambah pahala. Sebaliknya menambah dosa mengeji kejadian Allah yang tidak dapat diubah yakni wajah..
Allah menilai hati dan akhlak. Jika kita menilai bukan menurut neraca Allah, kita sengaja mengundang murkaNya. Na’uzubillah. Bagi wanita yang tidak cantik, usahlah bersedih. Allah buka peluang untuk kita memburu syurgaNya dengan agama yang mampu diusahakan, bukan dengan rupa paras yang sudah ditetapkan oleh Allah. Pedulikan nilaian mereka yang negatif kerana syurga itu bukan milik mereka. Mereka juga tidak mampu memberi bahagia atau derita walau sebesar zarah tanpa izin Allah swt. Marilah kita make-up wajah kita di akhirat dengan mengamalkan agama sepenuhnya di dunia ini, dengan izin Allah jua. Kelak kita akan lihat, siapakah yang cantik dan siapakah yang buruk di akhirat sana. Ya Allah, tetapkanlah hati-hati kami di atas agamaMu. Secara peribadi, saya memakai purdah kerana merasa tenang dan selesa dengannya. Oh ya… sudah tentu pada hari pertama memakainya, saya merasa rimas dan tidak selesa bernafas. Alah bisa tegal biasa. Lama-lama saya boleh menyesuaikan diri dengannya. Alhamdulillah. Bagi muslimah yang baru belajar memakainya, pilih jenis kain yang tidak panas dan tenunannya tidak rapat/padat untuk dijadikan purdah.

Air Mata Mengalir….
Sebaik saya mengenakan purdah di wajah, air mata keluar tanpa dapat ditahan-tahan. Saya tidak tahu kenapa dan mengapa. Seorang sahabat saya yang agak terperanjat melihat saya mengenakan purdah menegur, “Kenapa Izzati?”.
Dia juga hairan melihat saya menangis. Pada masa itu satu perasaan yang mengalir tenang memenuhi seluruh lubuk hati menyentap rasa sayu nan syahdu. Satu perasaan yang tidak dapat dimiliki kecuali dari Allah swt. Apakah saya memakainya benar-benar kerana Allah? Saya terpaksa mengambil sedikit masa untuk meredakan tangisan dan menenangkan diri semula. Kemudian baru saya mampu melangkah keluar menuju ke kuliah.
Sampai ke hari ini, bila terkenang perasaan yang mengalir semasa kali pertama mengenakan purdah, saya masih hairan, kenapa dan mengapa? Dalam situasi majoriti masyarakat tidak menyukai purdah bahkan ramai juga yang prejudis, Allah campakkan sesuatu ke dalam hati yang tidak mampu dibeli dengan wang berjuta.
Cukuplah Allah bagi diri saya. Baiknya saya kerana menumpang rahmat Ilahi. Buruknya saya kerana saya lalai dari mengingatiNya. Juga kerana fitrah saya sebagai manusia biasa yang dikelilingi kelemahan. Saya yakin dan percaya pada rahmat Allah. Saya sentiasa berharap keampunanNya setiap kali melakukan kesilapan. Biarlah manusia mahu mencerca dan menilik keaiban dan kesalahan saya, hakikatnya yang Maha Pengampun adalah Allah jua. Wallahuallam.

No comments:

Post a Comment