Sunday, December 26, 2010

Tinta Buat Bakal Suamiku


Assalammualaikum wrt wbt.

Buatmu,
Bakal suamiku.


Entah angin apa yang membuai hari ini, membuatkanku begitu berani untuk mencoretkan sesuatu untuk dirimu yang tidak pernah kukenali. Aku sebenarnya tidak pernah berniat untuk memperkenalkan diriku kepada sesiapa. Apatah lagi meluahkan sesuatu yang  khusus buatmu sebelum tiba masanya. Kehadiran seorang lelaki yang menuntut sesuatu yang aku jaga rapi selama ini semata-mata buatmu. Itulah hatiku dan cintaku, membuatkan aku tersedar dari lenaku yang panjang.

Aku telah dididik ibu semenjak kecil agar menjaga maruah dan mahkota diriku kerana Allah telah menetapkannya untuk suamiku, iaitulah dirimu suatu hari nanti. Kata ibu, tanggungjawab ibubapa terhadap anak perempuan ialah menjaga dan mendidiknya sehingga seorang lelaki mengambil alih tanggungjawab itu dari mereka. Jadi, kau telah wujud dalam diriku sejak dulu lagi. Sepanjang umurku ini.

Aku menutup pintu hatiku daripada mana-mana lelaki kerana aku tidak mahu membelakangimu. Aku menghalang diriku dari mengenali mana-mana lelaki kerana aku tidak mahu mengenali lelaki lain selainmu, apatah lagi memahami mereka. Kerana itulah aku sedaya kudrat yang lemah ini membatasi pergaulanku dengan bukan mahramku. Aku sering sahaja berasa tidak selamat diperhatikan lelaki. Bukanlah aku menyangka buruk terhadap mereka, tetapi lebih baik aku berjaga-jaga kerana contoh banyak di depan mata. Apabila terpaksa berurusan dengan mereka, akan aku buat ‘expressionles face’ dan ‘cool’. Akan aku palingkan wajahku daripada lelaki yang asyik merenungku ataupun cuba menegurku. Aku seboleh-bolehnya melarikan pandanganku daripada ajnabi kerana pesan Sayyidatina ‘Aisyah R.A ;

“sebaik-baik wanita ialah yang tidak memandang dan dipandang”

Aku tidak ingin dipandang cantik oleh lelaki. Biarlah aku hanya cantik di matamu. Apa guna aku menjadi idaman ramai lelaki sedangkan aku hanya boleh menjadi milikmu seorang. Aku tidak merasa bangga menjadi rebutan lelaki bahkan aku merasa terhina diperlakukan sebegitu seolah-olah aku ini barang yang boleh dimiliki sesuka hati. Aku juga tidak mahu menjadi punca kejatuhan seseorang lelaki yang dikecewakan lantaran terlalu mengharapkan sesuatu yang tidak dapat kuberikan.

Bagaimana akan aku jawab di hadapan Allah kelak andai disoal?

Adakah itu sumbanganku kepada manusia selama hidup di muka bumi?

Kalau aku tidak ingin kau memandang perempuan lain, aku dululah yang perlu menundukkan pandanganku. Aku harus memperbaiki kelemahan dan menghias peribadiku kerana itulah yang dituntut Allah. Kalau aku inginkan lelaki yang baik menjadi suamiku, aku juga perlu menjadi perempuan yang baik.

Bukankah Allah telah menjanjikan perempuan yang baik itu untuk lelaki yang baik?

Tidak dapat aku nafikan, sebagai remaja aku memiliki perasaan untuk menyayangi dan disayangi. Namun, setiap kali perasaan itu datang, setiap kali itulah aku mengingatkan diriku bahawa aku perlu menjaga perasaan itu kerana ia semata-mata untukmu. Allah telah memuliakan seorang lelaki yang bakal menjadi suamiku untuk menerima hati dan perasaanku yang suci. Bukan hati yang menjadi lebihan lelaki lain. Lelaki itu berhak mendapat kasih yang tulen, bukan yang telah dibahagi-bahagikan.

Diriku yang sememangnya lemah ini diuji Allah apabila seorang lelaki secara tidak sengaja mahu berkenalan denganku. Aku secara keras menolak, pelbagai dalil aku dikemukakan, tetapi dia tidak mahu mengalah. Lelaki itu tidak hanya berhenti di situ. Dia sentiasa menghubungi dan menggangguku. Aku berasa amat tidak tenteram, seolah-olah seluruh hidupku yang ceria selama ini telah dirampas dariku. Aku tertanya-tanya adakah aku berada di tebing kebinasaan. Aku beristighfar memohon keampunan-Nya. Aku juga berdoa agar Dia melindungi diriku daripada sebarang kejahatan. Kehadirannya membuatkan aku banyak memikirkanmu. Kau kurasa seolah-olah wujud bersamaku. Di mana sahaja aku berada, akal sedarku membuat perhitungan denganmu. Aku tahu lelaki yang melamarku itu bukan dirimu. Malah aku yakin pada gerak hati, ‘woman intuition’ku yang mengatakan lelaki itu bukan kau.

Aku bukanlah seorang gadis yang cerewet dalam memilih pasangan hidup. Siapalah diriku ini untuk memilih berlian sedangkan aku hanya sebutir pasir yang wujud di mana-mana. Tetapi aku juga punyai keinginan seperti gadis lain, dilamar lelaki yang bakal dinobat sebagai ahli syurga, memimpinku ke arah tuju yang satu. Tidak perlu kau memiliki wajah seindah Nabi Yusuf A.S yang mampu mendebarkan jutaan gadis untuk membuatku terpikat. Andainya kaulah jodohku yang tertulis di Luh Mahfuz, Allah pasti mencampakkan rasa kasih di dalam hatiku, jua hatimu kali pertama kita berpandangan. Itu janji Allah. Akan tetapi, selagi kita tidak diikat dengan ikatan yang sah, selagi itu jangan kau zahirkan perasaanmu itu kepadaku kerana kau masih tidak mempunyai hak untuk berbuat begitu. Juga jangan kau lampaui batasan yang telah ditetapkan syara’. Aku takut perlakuanmu itu akan memberi impak yang tidak baik dalam kehidupan kita kelak. Permintaanku tidak banyak, cukuplah dirimu yang diinfak seluruhnya pada mencari redha Ilahi.


Aku akan berasa amat bertuah andai dapat menjadi tiang seri ataupun sandaran perjuanganmu. Bahkan aku amat bersyukur pada Ilahi kiranya akulah yang ditakdirkan meniup semangat juangmu, menghulurkan tanganku untuk berpaut sewaktu rebah atau tersungkur di medan yang dijanjikan Allah dengan kemenangan atau syahid itu. Akan aku kesat darah dari lukamu dengan tanganku sendiri. Itulah impianku. Aku pasti berendam airmata darah andainya engkau menyerahkan seluruh cintamu padaku. Bukan itu yang aku impikan. Cukuplah kau mencintai Allah dengan sepenuh hatimu. Kerana dengan mencintai Allah kau akan mencintaiku kerana-Nya. Cinta itu lebih abadi dari cinta insan biasa. Moga cinta itu juga yang akan mempertemukan kita kembali di syurga.

Aku juga tidak ingin dilimpahi kemewahan dunia. Cukuplah dengan kesenangan yang telah diberikan ibubapaku dulu. Apa guna kau menimbun harta untuk kemudahanku sekiranya harta itu membuatkan kau lupa pada tanggungjawabmu terhadap agamamu. Aku tidak akan sekali-kali bahagia melihatmu begitu. Biarlah kita hidup di bawah jaminan Allah sepenuhnya. Itu lebih bermakna bagiku.

Dariku,
Bakal isterimu

Wednesday, December 15, 2010

..::wahai sahabatku yang kecewa::..

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Demi Tuhanku yang diriku di bawah penguasaan-Nya dan sentiasa dalam pengawasan-Nya, aku tidak menulis melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Nya dan dengan izin-Nya. Sesungguhnya aku menulis dengan penuh kasih sayangku kepadamu sebagai seorang sahabat, sebagai seorang saudara seagamaku. Aku tidak inginkan melainkan kebaikan bagi dirimu dan bagi diriku agar kita sama-sama beroleh syurga yang sangat kita impikan di pengakhiran sebuah perhitungan.

Wahai sahabatku,
Cinta itu letaknya di hati dan hati itu milik Allah. Tidak mungkin kita dapat menyentuh hati seseorang tanpa izin Allah dan jika Allah tidak mengkehendaki. Tidak patut kita serahkan hati kita yang dimiliki Allah itu kepada orang lain untuk dikuasai atau diperintah. Bahkan memang sepatutnya kita serahkan jiwa dan raga kita seluruhnya kepada Allah. Adapun rasa cinta yang lahir sesama manusia itu hanya jalan menuju cinta Allah. Janganlah sekali-kali kita menukarkan tujuan cinta di hati yang sepatutnya untuk Allah kepada manusia hanya kerana kita dapat melihat kecantikan manusia dan kita tidak dapat melihat Allah, kita cuma merasa dan melihat kecantikan segala ciptaan-Nya. Kita lupa dan selalu tidak sedar hakikat segala kecantikan itu adalah milik Allah. Jadikanlah cinta kepada manusia itu sebagai jalan menuju Tuhan, bukan matlamat dan pengakhiran destinasi cinta. Maka engkau akan lebih tenang menerima segala penolakan.

Wahai sahabatku,
Hati kita meronta untuk mencintai dan dicintai. Alangkah remuk redamnya hati tatkala apa yang kita cintai tidak kita miliki. Alangkah kecewanya jiwa tatkala cinta kita tidak dibalas oleh orang yang kita cintai. Ternyata hati itu bukan milik kita, ia milik Allah. Kita tidak bersalah tatkala cinta itu lahir terhadap seseorang, tetapi kita keterlaluan tatkala kita memaksa ia kepada seseorang. Bukankah sepatutnya kita redha dengan ketentuan Allah yang tidak menumbuhkan cinta terhadap kita di hati orang yang kita cintai? Alangkah zalimnya kita tatkala kita tidak dapat menerima apa yang telah ditetapkan oleh Allah. Sedangkan saban hari kita sering tidak menghargai cinta Allah, kita tidak pula membalas segala anugerah cinta yang Allah berikan kepada kita pada setiap hembusan nafas, pada setiap detik kehidupan yang kita lalui. Bukankah Allah lebih layak untuk murka kepada kita kerana kita tidak membalas-Nya dengan ketaatan yang sepatutnya?
 



Wahai sahabatku,
Allah menjanjikan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik. Yakinlah akan janji Allah, sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji. Perbaikilah setiap inci kehidupanmu agar engkau termasuk di kalangan orang yang beroleh pasangan yang baik. Allah tahu tentang dirimu lebih daripada engkau sendiri. Maka Allah telah menetapkan untukmu lebih baik daripada apa yang engkau kehendaki. Boleh jadi engkau cintakan sesuatu tetapi ia buruk bagimu dan begitu juga sebaliknya. Pada setiap persimpangan kehidupanmu, apakah engkau merasakan bahawa Allah tiada bersamamu? Bahkan dia sentiasa mendengar dan melihatmu. Persoalannya, apakah engkau sudah merintih pada-Nya, meminta pada-Nya dan memperlihatkan apa yang sepatutnya kepada –Nya? Aku berlindung dengan Allah daripada menjadi hamba yang kufur dan lupa diri.

Wahai sahabatku,
Sungguh cinta itu telah menjadi faktor yang dapat mengubah sesuatu kepada lebih baik atau sebaliknya. Ada manusia biasa yang berubah menjadi wali kerana kuasa cinta, dan ada pula yang bisa menjadi hina kerana dikuasai cinta. Ya, tamadun itu berkembang dan boleh jadi hancur kerana cinta. Tidakkah engkau melihat Taj Mahal yang terbina kerana cinta? Sebaliknya, ada pula yang membunuh kerana cinta. Persoalanku kepadamu, apakah engkau ingin berubah kerana cinta ke arah Redha Allah atau mungkin lebih jauh daripada Allah?

Wahai sahabatku,
Aku tidak mengatakan bahawa aku mengetahui segala isi hatimu atau segala kekacauan yang mengisi jiwamu. Aku cuma ingin berpesan agar engkau tidak meletakkan keinginanmu lebih tinggi daripada ketentuan Allah. Aku ingin engkau mengerti bahawa milik Allahlah segala kejadian. Kemudiannya aku ingin engkau membawa kefahaman tersebut kepada pengamalan dalam kehidupan yang kau lalui agar ia hidup bersamamu di dalam setiap inci kehidupan. Janganlah engkau mengatakan bahawa engkau mentaati Allah di saat hidupmu bergelumang dengan jahiliah. Aku juga sepertimu, anak muda yang bergelora jiwanya. Maka aku berpesan kepadamu agar aku juga dipelihara Allah daripada segala penyelewengan dalam memahami hakikat cinta. Aku memohon keampunan kepada Allah atas segala kesalahan yang kuungkapkan dan kumohon kau doakanlah kebahagiaanku di dunia dan di akhirat. Moga kita dipertemukan Allah untuk hidup di syurga yang kekal selama-lamanya.

Wahai sahabatku yang kecewa,
Bersabarlah…

Tuesday, December 14, 2010

Hakikat Akhlak Seorang Muslim..

"Apa yang sebenarnya dituntut dari kita ialah supaya membuat segala kebaikan dan mencapai segala kejayaan tetapi dalam pada itu kita diwajibkan mengekalkan rasa-rasa hamba di hati kita. Perbuatan lahir mesti positif. Rasa di hati mesti negatif. Dalam amalan hati, yang negatif itulah sebenarnya positif. Itulah akhlak namanya."

Manusia mempunyai roh. Roh itu dinamakan juga jiwa atau hati. Hati ialah untuk merasa. Maka dengan hati, manusia mengalami berbagai-bagai rasa dan manusia merasakan berbagai-bagai perkara. Di antara banyak rasa-rasa yang timbul di hati manusia termasuklah rasa sombong, angkuh, tinggi diri, rasa mulia, hebat, berkuasa, baik, pandai, rasa tidak bersalah, rasa kuat, rasa bangga dengan keturunan, kekayaan, pangkat dan nama, rasa tidak berdosa, rasa tidak apa-apa dengan Tuhan, rasa tidak apa-apa dengan mati, rasa tidak apa-apa dengan Neraka, rasa akan masuk Syurga dan sebagainya. Semua ini dinamakan rasa-rasa ketuanan.

Ada pula rasa rendah diri, rasa lemah, rasa hina, rasa berdosa, rasa bersalah, rasa cemas, rasa takut dan rasa bimbang dengan Tuhan, dengan mati dan dengan Neraka, rasa dhoif, rasa jahil, rasa tidak mampu, rasa bergantung harap dengan Tuhan dan sebagainya. Semua ini dinamakan rasa-rasa kehambaan.

Dalam pada itu, apa yang dapat kita lihat, orang yang merasakan dirinya mulia tidak semestinya mulia. Yang merasakan dirinya hebat, tidak semestinya hebat. Yang merasa dirinya baik, tidak semestinya baik, yang merasakan dirinya pandai, tidak semestinya pandai. Orang yang merasakan dirinya tidak berdosa pula, bergelumang dengan dosa, pagi, petang, siang dan malam. Sembahyang pun tidak.

Kita lihat pula orang yang merasakan dirinya hina, tetapi dia sangat dihormati dan disayangi oleh manusia. Akhlaknya mulia dan disenangi orang. Yang merasakan dirinya lemah, telah banyak mencetuskan berbagai pembangunan dan kejayaan. Yang merasakan dirinya berdosa, sangat taat dengan Allah dan patuh dengan kehendak agama. Yang merasakan tidak berilmu telah banyak mengajar dan mendidik orang. Banyak pula buku-buku atau kitab-kitab yang ditulisnya.

Jelas pada kita bahawa rasa-rasa yang timbul di hati manusia hanyalah semata-mata rasa-rasa sahaja yang tidak semestinya ada kaitan dengan realiti sebenar orang yang berkenaan. Apa yang dirasakan tidak semestinya mencerminkan perbuatan, sifat, keadaan dan amalan lahir orang tersebut.

Orang yang merasakan dirinya baik mungkin jahat dan orang yang merasakan dirinya jahat mungkin baik. Orang yang merasakan dirinya pemurah mungkin bakhil dan yang merasakan dirinya bakhil mungkin pemurah. Orang yang merasakan dirinya ikhlas mungkin berkepentingan dan yang merasakan dirinya berkepentingan mungkin ikhlas.

Jadi yang perlu kita fahami ialah:

1. Sesiapa yang merasakan dirinya baik, hakikatnya dia jahat kerana telah menganggap dirinya mulia dan telah melakukan dosa batin atau dosa hati, walaupun dalam hidupnya dia memang baik. Lagi-lagilah kalau dalam hidupnya dia jahat.

2. Siapa yang merasakan dirinya tidak berdosa dia sudah melakukan dosa, kerana merasakan diri tidak berdosa itu ialah satu dosa, walaupun dia tidak membuat dosa dalam hidupnya. Lagi-lagilah kalau dia memang membuat dosa.

3. Siapa yang merasakan dirinya mulia hakikatnya hina dan telah melakukan dosa kerana merasakan diri mulia itu ialah juga satu dosa.

4. Siapa yang merasa dirinya ikhlas sebenarnya tidak ikhlas dan merasakan diri ikhlas itu satu sifat mazmumah. Begitulah seterusnya. Segala rasa-rasa ketuanan yang bersarang di hati seperti rasa sombong, angkuh, tinggi diri, hebat, pandai, rasa tidak berdosa, tidak bersalah, tidak cemas, tidak takut atau tidak bimbang dengan Tuhan, dengan mati dan dengan Neraka, itu semua boleh mendatangkan dosa.

Dosa batin atau dosa hati namanya. Rasa-rasa ini menggelapkan hati, menyuburkan mazmumah dan menjauhkan kita dari Tuhan. Orang yang mengekalkan rasa-rasa ketuanan seperti ini sebenarnya telah melakukan syirik khafii (syirik kecil) kerana mahu berkongsi sifat dengan sifat-sifat kemuliaan Tuhan.

Apa yang sebenarnya dituntut dari kita ialah supaya membuat segala kebaikan dan mencapai segala kejayaan tetapi dalam pada itu kita diwajibkan mengekalkan rasa-rasa hamba di hati kita.

Justeru itu, buatlah segala kebaikan tetapi rasakanlah yang kita ini jahat. Elaklah dari membuat dosa tetapi rasakanlah di hati yang kita ini terlalu banyak dosa. Jangan berbuat jahat dan kesalahan, tetapi rasakanlah yang kita ini jahat dan bersalah. Rasakanlah diri kita ini hina walaupun kita dimuliakan manusia. Rasakanlah kita ini jahil walaupun kita ada ilmu.

Walaupun kita digalakkan mengikut sesetengah sifat Tuhan seperti pemurah, pemaaf, penyantun, pengasih, penyayang dan lain-lain lagi tetapi kita ditegah merasakan yang diri kita pemurah, pemaaf, pengasih dan sebagainya. Apa yang kita amalkan secara lahir itu lain tetapi apa yang kita rasakan di hati itu lain pula.

Akhlak itu ada dua. Ada akhlak lahir dan ada akhlak batin atau hati. Pemurahlah dengan manusia tetapi di sisi Allah rasakan yang kita ini bakhil. Berbuat baiklah kepada manusia tetapi rasakan yang kita ini jahat. Carilah ilmu hingga jadi alim tetapi rasakan yang kita ini jahil. Biarkanlah manusia memuliakan kita tapi rasakanlah dalam hati kita yang kita ini hina di sisi Tuhan. Kekalkan rasa takut, cemas dan bimbang dengan Tuhan, dengan mati dan dengan Neraka walaupun kita telah bertungkus-lumus melakukan taat kepada Tuhan.
Siapa yang merasakan dirinya hina, adalah mulia di sisi Tuhan. Siapa yang merasakan dirinya berdosa, diampunkan dosanya oleh Tuhan. Siapa yang rasa bersalah, dimaafkan oleh Tuhan. Siapa yang rasa jahil sebenarnya berilmu kerana natijah orang yang alim itu, dia merasakan dirinya jahil di sisi Tuhan. Dan begitulah seterusnya jongkang-jongkit di antara amalan lahir dan amalan hati. Perbuatan lahir mesti positif. Rasa di hati mesti negatif. Dalam amalan hati, yang negatif itulah sebenarnya positif. Itulah akhlak namanya.

Tuesday, December 7, 2010

Antara Pengorbanan ILMU dan CINTA

Kisahnya bermula dengan sepasang Hafiz dan Hafizah yang berkenalan atas dasar cinta agama yang ada pada diri mereka dan mereka adalah Mohd (bukan nama sebenar) dan Aisyah (bukan nama sebenar).

Perkenalan kami bermula dengan aku begitu tertarik dengan agama yang ada pada diri Aisyah. Pertemuan pertama kami begitu mengujakan. Pertama kali dalam hidupku berjumpa dengan gadis yang begitu pemalu dan menjaga pandangan matanya. Ya, dalam tersenyum pada ketika itu juga aku teringat pada lirik lagu Kasih-Kekasih In-team ‘Wanita Hiasan Dunia, Seindah Hiasan Adalah Wanita Solehah’. Lamunanku terhenti bila Ustaz Zack masuk ke bilik kuliahku untuk madah Qiraat Ilmi.

Sejak detik itu aku sering memerhatikannya perwatakan gadis solehah yang menjadi idaman hatiku sekian lama. Aku cuba merisik khabar berita bertanya sama ada bunga idamanku sudah berpunya atau belum. Ternyata setelah dirisik, aku masih berpeluang untuk menjadi kumbangnya. Namun aku tidak berani untuk mendekati dirinya, bukan kerana takut. Tapi kerana segan dengan kekurangan diriku. Siapalah aku kalu dibandingkan dengannya. Dia belajar disekolah Arab tersohor di sebelah Utara. Sedangkan aku hanya seorang pemuda yang baru nak bertatih belajar agama.

Ya benar aku juga belajar di sekolah agama, tapi itu dulu 4 tahun lepas. Sudahlah madah-madah arab seperti di Sekolah Arab aku tidak belajar, Bahasa Arab Tinggi aku pun hanya mendapat 8E. Pastinya aku berasa cukup kerdil untuk mengenalinya. Terus aku pendamkan saja niat baikku untuk menjadikannya suri dihati. Alhamdulliah takdir Allah telah menentukan segalannya. Aku mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan akhir semesterku. Keputusan itu memberi sedikit kekuatan untukku mengenalinya.

Aku mengunakan sahabatku sebagai orang tengah untuk menyampaikan hasrat hatiku. Ternyata cintaku berbalas. Cuma katanya aku boleh mengenalinya setelah mendapat izin dari orang tuanya. Ya Allah cukup besar kurniaanmu ini. Seorang gadis yang taat dan patuh pada Tuhan dan kedua ibubapanya. Setelah mendapat restu daripada ibubapaku, aku bersedia untuk bertentang mata dengan ibubapanya. Aku masih ingat ketika itu Jam tepat pukul 10.30 pagi.
Sebelum berangkat aku menunaikan solat hajat 2 rakaat memohon agar dipermudahkan pertemuan ini. Dengan penuh pengharapan aku berdoa pada tuhan yang memberi cinta ini padaku. Andai benar ada jodoh antara kami, maka satukanlah hati kami menjadi satu. Andai tiada jodoh antara kami aku mohon agar kau selesaikan perkara ini dengan baik. Alhamdulillah, aku berasa sedikit tenang akan luahan rasa pada tuhanku yang maha satu. Aku ditemani oleh temanku yang juga seusia denganku. Dia begitu memahami dilemaku. Mungkin kerana kami sama-sama sudah berusia.

Perjalananku ke rumah Aisyah sedikit bermasalah kerana alamatnya sedikit sukarku fahami. Namun setelah sejam akhirnya kami tiba disambut oleh Abi (panggilan Aisyah pada Ayahnya). Abi seorang ramah dan baik hati. Keadaan itu membuatkanku sedikit tenang. Apa yang menarik tentang Abi, dia mempunyai Fikrah Islam walaupun profesionnya bukanlah dibidang agama. Aku cukup kagum. Dan dari situ aku sedar bahawa sahsiah Aisyah bertitik tolak dari biah keluarganya yang memberikan tarbiah yang mantap tentang agama.

Benar sabda nabi kita. Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah semulajadi. Ibu Bapalah yang menjadikannya Yahudi atau Kristian atau Majusi. (Riwayat Muslim, Bab Qadar No 2658)Perbualanku kami berkisar soal hasratku terhadap Aisyah. Abi memberitahu dia faham akan hasrat baikku. Dan katanya ini sunnah. Namun nasihatnnya, aku perlu sedar kerana sunnah ini sedikit sukar untuk dilaksanakan berbanding sunnah-sunnah yang lain kerana terlalu banyak dugaan yang akan kunjung tiba dan memerlukan hati yang cukup sabar. Diakhir perbualan kami, Abi merestui hubungan ini dan menunggu perbincanganku dengan keluargaku tentang perkara ini.

Akhirnya setelah beberapa ketika ayah dan ibuku datang untuk merisik Aisyah. Aku menyatakan hasratku pada ibuku yang kami ingin kawin awal. Aku takut kalau pertunangan kami diikat lama-lama akan menganggu tumpuanku pada Al-Quran. Lagilah pula umurku sudah lewat untuk menghafaz Quran. Untuk mendapatkan Tasmi’ Quranku setiap hari, aku memerlukan masa hampir 5 jam untuk sehelai Quran. Cukup-cukup berat.

Kadang-kadang aku menangis sendirian mengenangkan sukarnya untukku menghafaz Quran. Mujurlah ada teman-temanku yang sudah Hafiz sebelum ini memberi semangat padaku bahawa semua ini dugaan biasa bagi seorang yang akan diberikan amanat untuk menjaga Kalam Allah. Pastinya Allah akan memberi dugaan yang berat bagi menguji sejauh mana komitmenku untuk menghafaz Quran. Ibu diam seketika. Ibu merenung jauh ke dalam mataku. Perlahan air matanya mengalir sayu.

"Kenapa ibu?" Tanyaku.

Dengan nada sebak ibu bersuara. “Ibu takut semua itu akan menganggu pengajianmu, Namun insyaallah ibu akan usahakan”. ~dipetik dari satu artikel~

..::HAWA,,,kerana dirimu begitu berharga::..

HAWA
Gadisku, sesungguhnya kejadianmu terlalu unik, tercipta dari tulang rusuk adam yang bengkok menghiasi taman-taman indah lantas menjadi perhatian sang kumbang. Kau umpama sekuntum bunga, harum aromamu bias menarik sang kumbang untuk mendekatimu. Namun...tidak semua bunga senang didekati sang kumbang
lantaran duri yg memagari diri, umpama mawar merah, dari jauh sudah terhidu keharumannya. Penahan warnanya yg terselah indah mengundang kekaguman kepada sang kumbang berfikir beberapa kali untuk mendekatinya.

Gadisku, aku suka sekiranya kau seperti mawar aspirasi setiap mujahadah.
Bentengilah kubu dirimu dengan perasaan malu yg bertunjangkan keimanan dan
keindahan takwa kepada Allah...hiasilah wajahmu dengan titisan wuduk.
Ingatilah ciri-ciri seorang wanita solehah ialah dia tidak melihat lelaki
dan lelaki tidak melihat kepadannya. Sesuatu yg tertutup itu lebih berharga
jika dibandingkan dengan sesuatu yg terdedah, umpama sebutir permata yg
didedahkan untuk perhatian umum dengan suatu permata yg diletakkan dalam
bekas tertutup. Sudah pasti keinginan naluri lebih kuat untuk melihat
sesuatu yg tersembunyi, melebihi sesuatu yg terdedah. Wanita solehah yg
patuh dan taat kepada AL-Khaliq dalam melayari liku-liku kehidupannya
adalah harapan setiap insan yg bernama Adam. Namun segalanya memerlukan
pengorbanan dan mujahadah yg tinggi kerana bertentangan dengan nafsu
serakah yg bersarang dalam dirimu. Lebih-lebih lagi dgn title gadis yg
engkau miliki, sudah pasti darah mudamu mencabar rasa keimanan yg ada.
Namun ingatlah gadisku...sesiapa yg inginkan kebaikan, maka Allah akan
memudahkan jalan-jalan baginya ke arah itu. Yang penting gadisku engkau
miliki azam, usaha dan istiqamah..

Gadisku, akuilah dirimu menjadi fitnah kpd kebanyakan lelaki. Seandainya
pakaian malumu kau tanggalkan dari tubuhmu, maka sudah tidak ada perisai yg
dapat membetengimu. Sesungguhnya Nabi ada mengatakan bahaya dirimu "tidak
ada suatu fitnah yang lebih besar, yg lebih bermaharajalela selepas wafatku
terhadap kaum lelaki selain fitnah yg berpunca dari kaum wanita." Oleh itu
gadisku, setiap langkah dan tindakanmu hendaklah berpaksikan Al-Quran dan
As-Sunah. Jgn biarkan sekali sesiapa mengeksploitasikan dirimu untuk
kepentingan tertentu. Sesungguhnya Allah Taala telah mengangkat martabatmu
setaraf kaum Adam. Kau harapan ummah dalam melahirkan para mujahid dan
mujahidah yg bakal menggocang dunia dgn sentuhan lembut tanganmu.

Gadisku, dalam hidupmu engkau ingin menyayangi dan disayangi. Itulah fitrah
semulajadi setiap insan, namun ramai antara kaummu yg tewas kerana
cinta....bercinta tidak salah, tetapi memuja cinta itu salah. Ini adalah
kerana, kerana cinta manusia sanggup menjual agama dan kerana cinta maruah
tergadai. Gejala murtad serta keruntuhan moral muda-mudi sebahagian
besarnya kerana cinta. Benarlah sabda Rasulullah membawa maksud,
"Sesungguhnya cinta itu buta." Cinta itu mampu membutakan mata dan hatimu
dalam membezakan perkara yg hak dan baril, jika engkau meletakkan cinta itu
atas dasar nafsu semata-mata dan bukan kerana Allah swt. Sebelum engkau
mendekati cinta, cintailah dirimu terlebih dahulu. Cintailah dirimu yg unik
itu dgn mengkaji hakikat kejadianmu yg begitu simbolik. Asal kejadian dari
setittis air yg tidak berharga, lalu mengalami proses pembentukkan yg
sempurna hasil rencana ALLAH. Semoga perasaan sebegitu dapat melahirkan
rasa keagungan dan kehebatan terhadap Allah dan dgn itu akan timbul cinta
dan kasihmu terhadap penciptamu.

Gadisku, menyintai Allah dan Rasul melebihi cinta terhadap makhluk adalah
cinta yg hakiki dan abadi.

Saturday, November 20, 2010

PURDAH: Hari Pertama Memakainya...::

Saya rasa terpanggil lagi untuk bercerita tentang pengalaman saya pakai purdah setelah melihat perkataan carian mengenai PURDAH adalah yang tertinggi setakat ini dalam blog saya. Saya akan bercerita mengenai pengalaman sahaja dan tidak bermaksud mengemukakan hujjah ilmiah secara terperinci.
Justeru, saya akan bercerita sedikit demi sedikit mengenai pengalaman memakai purdah untuk mereka yang mahu mengetahuinya. Saya cuba mengelak berbincang tentang perbahasan fuqaha’ tentang hukum memakainya. Justeru perbincangan tersebut boleh didapati di dalam kitab-kitab tafsir dan sebagainya.
Sudah tentu saya sayangkan para wanita semua. Lebih-lebih lagi kepada yang sedang pulang kepada Tuhan. Saya harap apa yang baik dijadikan panduan. Apa yang kurang baik dijadikan sempadan. Nasihatilah saya dan berikan alternatif di atas kesilapan saya. Allah jua sebaik-baik pemberi balasan.
Kisah pertama saya ceritakan dalam entri bertajuk ‘Aku dan Purdah’. Kisah kedua ‘Kain Kecil di Wajahmu’. Kali ini kisah ketiga pula.
Pengaruh pertama yang melanda diri saya ialah sahabat-sahabat di kampus yang agak ramai memakai purdah. Wajah mereka berseri dengan cahaya zikrullah dan taat padaNya dan akhlak mereka juga baik memikat. Walaupun ramai juga sahabat yang tidak memakai purdah yang berakhlak mulia namun hati lebih tertarik dengan pemakai purdah. Tambahan pula, mereka yang tidak memakai purdah sebenarnya berhasrat untuk memakainya namun keadaan tidak mengizinkan.
Saya pernah menghadiri kuliah di Pondok Kg Kasar di hujung minggu. Saya lihat Muslimah di sana memakai abaya hitam sama seperti abaya muslimah di Arab Saudi.
Hari pertama saya menghadiri kuliah, saya yang sudah memakai jubah waktu itu terpegun melihat wajah-wajah di sebalik abaya hitam. Ada kawasan khas untuk mereka menyangkut abaya. Mungkin kerana itu majlis ilmu, di dalam abaya mereka memakai sepasang kurung berwarna-warni dan berbunga serta tudung kecil (tudung tiga segi- sebagaimana panggilan umum).
Kebanyakan mereka masih remaja. Masya Allah, wajah mereka berseri-seri penuh ketenangan dan penuh senyuman mesra. Ramai juga berwajah jelita. Namun yang tidak jelita pun, hati tetap senang memandangnya. Iya… justeru mereka mengamalkan zikir yang tetap juga menjaga ibadah yang wajib yang lain.
Mereka datang dari pelbagai negeri di Malaysia. Aduh… jika hati saya yang juga gadis seperti mereka boleh terpegun. Saya tidak tahu jika kaum lelaki yang melihatnya. Allah memelihara kesucian dan maruah mereka dari pandangan nafsu lelaki ajnabi. Alhamdulillah. Moga mereka yang saya lihat waktu itu masih istiqamah di jalan Allah.
Melihatkan sahabat-sahabat memakai purdah dan muslimah Arqam memakai purdah, saya tertanya-tanya kenapa ada wanita berpurdah dan kenapa ada yang tidak. Walaupun hati tertarik namun saya tidak akan lakukan sesuatu perkara kerana ikutan/taqlid membabi buta sama ada pada individu mahu pun jemaah. Tabiat saya suka mencari sebab-musabbab dan hujjah yang wajar.
Saya tahu pandangan Tok Guru Nik Aziz dalam hal ini yang tidak menggalakkan memakai purdah. Saya dapat tahu melalui salah seorang anak saudara Tok Guru yang satu sekolah dengan saya waktu itu.

Hari Pertama Dengan PURDAH…
Mengenang kembali saat pertama saya memakai purdah, ramai sahabat-sahabat terkejut melihat perubahan ini. Saya mengambil keputusan untuk memakai purdah setelah saya membuat penelitian bersama dengan pensyarah-pensyarah serta beberapa orang sahabat yang terlibat membantu dalam membantu saya dan berdasarkan penilitian inilah saya membuat keputusan nekad untuk berpurdah. Terima kasih buat pensyarah-pensyarah dan sahabat-sahabat saya.
Hari pertama saya memakainya ialah hari pertama saya perlu hadir ke kelas ko-kurikulum Rakan Kaunselor yang mana pada hari itu, semua kelas digabungkan dan pelajar lelaki semakin bertambah. Secara ringkasnya, penting bagi saya mengekalkan rasa malu sebagai gadis Islam. Saya ini jenis peramah. Keluarga saya semuanya begitu. Justeru bila pakai purdah, saya terpaksa kawal sikit sifat peramah saya terutama dengan pelajar lelaki.
Saya memakai purdah bukan kerana saya cantik atau merasa diri cantik. Jauh sekali. Saya hanya gadis Melayu biasa-biasa. Namun…ahh… ramai lelaki atau perempuan sendiri menganggap wanita berpurdah ini kerana dia cantik atau merasa diri cantik. Hakikatnya bukan semua begitu. Cantik itu subjektif sifatnya. Ia bergantung pada mata yang memandang dan citarasa seseorang yang Allah jadikan tidak sama. Implikasi persepsi tersebut, bila mereka berpeluang melihat wajah wanita berpurdah dan didapati tidak secantik yang dibayangkan, mereka mula mengutuk atau hati mereka mula didatangi mazmumah mengeji wanita itu. Salah mereka sendiri. Tidak ada siapa yang suruh kita bayangkan apa-apa yang sudah disembunyikan. Ia juga satu khayalan sia-sia yang tidak akan menambah pahala. Sebaliknya menambah dosa mengeji kejadian Allah yang tidak dapat diubah yakni wajah..
Allah menilai hati dan akhlak. Jika kita menilai bukan menurut neraca Allah, kita sengaja mengundang murkaNya. Na’uzubillah. Bagi wanita yang tidak cantik, usahlah bersedih. Allah buka peluang untuk kita memburu syurgaNya dengan agama yang mampu diusahakan, bukan dengan rupa paras yang sudah ditetapkan oleh Allah. Pedulikan nilaian mereka yang negatif kerana syurga itu bukan milik mereka. Mereka juga tidak mampu memberi bahagia atau derita walau sebesar zarah tanpa izin Allah swt. Marilah kita make-up wajah kita di akhirat dengan mengamalkan agama sepenuhnya di dunia ini, dengan izin Allah jua. Kelak kita akan lihat, siapakah yang cantik dan siapakah yang buruk di akhirat sana. Ya Allah, tetapkanlah hati-hati kami di atas agamaMu. Secara peribadi, saya memakai purdah kerana merasa tenang dan selesa dengannya. Oh ya… sudah tentu pada hari pertama memakainya, saya merasa rimas dan tidak selesa bernafas. Alah bisa tegal biasa. Lama-lama saya boleh menyesuaikan diri dengannya. Alhamdulillah. Bagi muslimah yang baru belajar memakainya, pilih jenis kain yang tidak panas dan tenunannya tidak rapat/padat untuk dijadikan purdah.

Air Mata Mengalir….
Sebaik saya mengenakan purdah di wajah, air mata keluar tanpa dapat ditahan-tahan. Saya tidak tahu kenapa dan mengapa. Seorang sahabat saya yang agak terperanjat melihat saya mengenakan purdah menegur, “Kenapa Izzati?”.
Dia juga hairan melihat saya menangis. Pada masa itu satu perasaan yang mengalir tenang memenuhi seluruh lubuk hati menyentap rasa sayu nan syahdu. Satu perasaan yang tidak dapat dimiliki kecuali dari Allah swt. Apakah saya memakainya benar-benar kerana Allah? Saya terpaksa mengambil sedikit masa untuk meredakan tangisan dan menenangkan diri semula. Kemudian baru saya mampu melangkah keluar menuju ke kuliah.
Sampai ke hari ini, bila terkenang perasaan yang mengalir semasa kali pertama mengenakan purdah, saya masih hairan, kenapa dan mengapa? Dalam situasi majoriti masyarakat tidak menyukai purdah bahkan ramai juga yang prejudis, Allah campakkan sesuatu ke dalam hati yang tidak mampu dibeli dengan wang berjuta.
Cukuplah Allah bagi diri saya. Baiknya saya kerana menumpang rahmat Ilahi. Buruknya saya kerana saya lalai dari mengingatiNya. Juga kerana fitrah saya sebagai manusia biasa yang dikelilingi kelemahan. Saya yakin dan percaya pada rahmat Allah. Saya sentiasa berharap keampunanNya setiap kali melakukan kesilapan. Biarlah manusia mahu mencerca dan menilik keaiban dan kesalahan saya, hakikatnya yang Maha Pengampun adalah Allah jua. Wallahuallam.

Friday, November 19, 2010

..::nilai tudung seorang muslimah::..

Bila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan muhram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki.


Kalau dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian, ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan wanita, Kerana wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum. Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak. Wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan dunia.

Menyentuh berkenaan pakaian wanita, alhamdulillah sekarang telah ramai wanita yang menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai tudung. Dapat kita saksikan di sana sini wanita mula memakai tudung. Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari peringkat bawahan hingga kepada peringkat atasan. Samada dari golongan pelajar-pelajar sekolah hinggalah kepada pekerja-pekerja pejabat-pejabat.

Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan dipakai, namun pemakaiannya masih tidak lengkap dan sempurna. Masih lagi menampakkan batang leher, dada dan sebagainya. Ada yang memakai tudung, tetapi pada masa yang sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya.

Pelbagai warna dan pelbagai fesyen tudung turut direka untuk wanita-wanita Islam kini. Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok di dalamnya, dihias pula dengan kerongsang (broach) yang menarik. Labuci warna-warni dijahit pula di atasnya. Dan berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam majalah dan suratkhabar fesyen untuk tudung.

Rekaan itu kesemuanya bukan bertujuan untuk mengelakkan fitnah, sebaliknya menambahkan fitnah ke atas wanita. Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja menutup auratnya, malah sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang wanita. Iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita, dan tidak berhias-hias yang mana akan menjadikan daya tarikan kepada lelaki bukan muhramnya.

Sekaligus pakaian boleh melindungi wanita dari menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab. Bilamana wanita bertudung tetapi masih berhias-hias, maka terjadilah pakaian wanita Islam sekarang walaupun bertudung, tetapi semakin membesarkan riak dan bangga dalam diri. Sombong makin bertambah. Jalan mendabik dada. Terasa tudung kitalah yang paling cantik, up-to-date, sofistikated, bergaya, ada kelas dan sebagainya. Bertudung, tapi masih ingin bergaya.

Kesimpulannya, tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan. Kita tidak merasakan diri ini hina, banyak berdosa dengan Tuhan mahupun dengan manusia. Kita tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan bertudung ini hanya satu amalan yang kecil yang mampu kita laksanakan. Kenapa hati mesti berbunga dan berbangga bila boleh memakai tudung?

Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak bersembahyang. Ada orang yang bertudung tapi masih lagi berkepit dan keluar dengan teman lelaki . Ada orang bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas. Ada orang bertudung yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan muhramnya. Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh orang-orang bertudung termasuk kes-kes besar seperti zina, khalwat dan sebagainya.

Jadi, nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang yang sebegini. Orang Islam lain yang ingin ikut jejak orang-orang bertudung pun tersekat melihat sikap orang-orang yang mencemari hukum Islam. Mereka rasakan bertudung atau menutup aurat sama sahaja dengan tidak bertudung. Lebih baik tidak bertudung. Mereka rasa lebih bebas lagi. Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk masuk Islam kerana sikap umat Islam yang tidak menjaga kemuliaan hukum-hakam Islam.

Walaupun bertudung, perangai mereka sama sahaja dengan orang-orang bukan Islam. Mereka tidak nampak perbezaan agama Islam dengan agama mereka. Lihatlah betapa besarnya peranan tudung untuk dakwah orang lain. Selama ini kita tidak sedar diri kitalah agen bagi Islam. Kita sebenarnya pendakwah Islam. Dakwah kita bukan seperti pendakwah lain tapi hanya melalui pakaian.

Kalau kita menutup aurat, tetapi tidak terus memperbaiki diri zahir dan batin dari masa ke semasa, kitalah punca gagalnya mesej Islam untuk disampaikan. Jangan lihat orang lain. Islam itu bermula dari diri kita sendiri. Ini tidak bermakna kalau akhlak belum boleh jadi baik tidak boleh pakai tudung. Aurat, wajib ditutup tapi dalam masa yang sama, perbaikilah kesilapan diri dari masa ke semasa. Tudung di luar tudung di dalam (hati).

Buang perangai suka mengumpat, berdengki, berbangga, ego, riak dan lain-lain penyakit hati. Walau apapun, kewajipan bertudung tidak terlepas dari tanggungjawab setiap wanita Muslim. Samada baik atau tidak akhlak mereka, itu adalah antara mereka dengan Allah. Amat tidak wajar jika kita mengatakan si polanah itu walaupun bertudung, namun tetap berbuat kemungkaran.

Berbuat kemungkaran adalah satu dosa, manakala tidak menutup aurat dengan menutup aurat adalah satu dosa lain. Kalau sudah mula menutup aurat, elak-elaklah diri dari suka bertengkar. Hiasi diri dengan sifat tolak ansur. Sentiasa bermanis muka. Elakkan pergaulan bebas lelaki perempuan. Jangan lagi berjalan ke hulu ke hilir dengan teman lelaki.

Serahkan pada Allah tentang jodoh. Memang Allah sudah tetapkan jodoh masing-masing. Yakinlah pada ketentuan qada' dan qadar dari Allah. Apabila sudah menutup aurat, cuba kita tingkatkan amalan lain. Cuba jangan tinggal sembahyang lagi terutama dalam waktu bekerja. Cuba didik diri menjadi orang yang lemah-lembut. Buang sifat kasar dan sifat suka bercakap dengan suara meninggi. Buang sikap suka mengumpat, suka mengeji dan mengata hal orang lain. jaga tertib sebagai seorang wanita.

Jaga diri dan maruah sebagai wanita Islam. Barulah nampak Islam itu indah dan cantik kerana indah dan cantiknya akhlak yang menghiasi peribadi wanita muslimah. Barulah orang terpikat untuk mengamalkan Islam. Dengan ini, orang bukan Islam akan mula hormat dan mengakui "Islam is really beautiful." Semuanya bila individu Islam itu sudah cantik peribadinya.

Oleh itu wahai wanita-wanita Islam sekalian, anda mesti mengorak langkah sekarang sebagai agen pengembang agama melalui pakaian.


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Sunday, November 14, 2010

..::nIKah mUDA dan BahaGIA::..

Begitu saja aku dengari suatu ayat-ayat Al Quran yang membuatkan aku tersentak!
“Dan nikahkanlah orang-orang yang masih membujang di kalangan kamu dan juga orang-orang yang layak menikah dikalangan hamba sahaya kamu laki-laki dan perempuan, jika mereka miskin Allah akan memberi kemampuan kepada mereka dengan kurniaannya.Dan Allah maha Luas (Pemberiannya),lagi Maha Mengetahui (QS Annur :32)

Merupakan suatu perintah Allah agar segera menikahkan orang-orang yang masih bujang di kalangan kita.Bahkan seandainya kita termasuk golongan yang tidak mampu, jangan bimbang Allah swt sendiri akan memampukan kita.

Andai kita belum yakin dengan ayat Allah SWT perkataan apa lagi di dunia ini yang dapat menjadikan kita yakin terhadap sesuatu? Bah kan Rasullulah juga bersabda yang bermaksud:

“Carilah oleh kalian rezeki dalam pernikahan (dalam kehidupan berkeluarga) “
(Hadith riwayat Imam Ad Dhalani) dalam Musnad Al Firdaus

Dari Abu Hurairah r.a Rasulullah bersabda, “ 3 golongan yang akan selalu di beri pertolongan oleh Allah ialah seorang mujahid yang selalu memperjuangkan agama Allah swt ,seorang penulis yang selalu memberi penawar dan seorang yang menikah demi menjaga kehormatan dirinya” (Hadith riwayat Thabrani) dikeluarkan oleh Ibnu Abi Hatim, dari Ad Dur Al Mantsur.

Abu Bakar As Siddiq pernah berkata “ Taatlah kamu kepada Allah dalam apa yang diperintahkan kepadamu iaitu perkahwinan,maka Allah akan melestarikan janjiNYA kepadamu iaitu kekayaan".

Allah telah berfirman “Jika mereka miskin Allah akan memberi kemampuan kepada mereka dengan kurniaannya” (QS Annur:32)

Apa lagi alasan mereka yang telah diberi kesihatan tubuh badan ,keinginan yang kuat untuk bersama pasangan dan mempercayai Allah sebagai tuhan(ialah) untuk mengatakan diri ini belum memilih nikah sebagai jalan? Andai membujang itu suatu pilihan yang diberikan kepada mereka yang beriman.Maka ia adalah sesuatu yang dikategorikan sebagai kehinaan.

Rasullah bersabda lagi,Hadith Saad bin Abi Waqas berkata :
”Rasullulah saw melarang Uthman bin Mazun dari membujang,seandainya baginda merestuinya,pasti kami akan membujang" (Sahih Muslim)

Sabda baginda lagi: dari Anas ra, Rasullulah Al Ma’shum bersabda,
“Barangsiapa mempunyai anak perempuan yang telah mencapai umur 12tahun,lalu ia tidak segerakan mengahwinkannya kemudian anak perempuan tersebut melakukan dosanya di tanggung oleh ayahnya". (Hadith riwayat Baihaqi)

Ibnu Ma’ud pernah mengatakan, "Seandai tinggal sepuluh hari sahaja dari usiaku ,niscaya aku tetap ingin kahwin agar aku tidak menghadap Allah dalam keadaan masih bujang"

Sahabat-sahabat sekalian,seandainya mahu merenung akan hadith-hadith ini,maka apa lagi yang dinanti,berusahalah sedaya upaya kita untuk menikah.Kerana hadith yang menyuruh bernikah berbunyi:

Abdullah bin Mas’ud ra: diriwayatkan dari Al Qamah ra katanya:
"Aku berjalan-jalan di Mina bersama Abdullah ra yang kemudian menghampiri Abdullah ra. Setelah berbincang beberapa ketika,Othman ra bertanya,wahai abu abdul rahman;mahukah aku jodhohkan kamu dengan seorang perempuan muda? Mudah mudahan perempuan itu akan dapat mengigatkan kembali masa lampau mu yang indah"

Mendengar tawaran itu Abdullah ra menjawab;

"Apa yang kamu ucapkan itu adalah sejajar dengan apa yang pernah di sabdakan oleh rasullulah saw kepada kami "

"Wahai golongan pemuda! Sesiapa di antara kamu yang telah mempunyai keupayaan iaitu zahir dan batin untuk berkahwin, maka hendaklah dia berkahwin,sesungguhnya perkahwinan itu dapat menjaga pandangan mata dan menjaga kehormatan.maka sesiapa yang tidak berkemampuan,hendaklah dia berpuasa kerana puas itu dapat mengawal iaitu benteng nafsu"
(Hadith riwayat Muslim)

Seandainya kita telah berusaha sedaya upaya,serahkanlah semuanya pada Allah.Dialah yang memberi rezeki.Bukanlah orang itu termasuk dalam golongan tidak mampu,seandainya dia terus membiarkan dirinya saja,tidak berbuat apa-apa lalu apabila ditanyakan kepadanya lalu dia menjawab TIDAK MAMPU.Akan tetapi seorang yang tidak mampu adalah mereka yang telah berusaha sekuat hati ,namun hasilnya tetap di tahan oleh Allah SWT sebagai ujian untuk dirinya.

Seorang saudara mengadukan dirinya yang masih kurang iman kepada sahabatnya,
"Saya rasa masih tidak kuat lagi untuk menikah” .

Jawab sahabatnya,
"Justeru kerana kamu masih belum kuat imanlah kamu harus menyegerakan nikah, kan nikah itu menyempurnakan separuh dari agama ?"

Lantas di sebabkan iman kita yang kurang inilah kita harus segera bernikah.Bagaimana kalian sahabat-sahabat ku? Luruskan niatmu , jangan bernikah kerana keSERONOKan di dalamnya,jangan pula kerana orang mengatakannya BAIK atau apa sebab lain pun selain dari
Aku nikah kerana ALLAH dan RASUL SURUH !

Dan carilah pernikahan yang barakah.Zainab bin Jashyi dan Zaid bin Harithah yang cukup kuat iman mereka pun bercerai akhirnya.Zaid anak angkat Nabi,kekasih nabi,panglima perang ,manakala Zainab,ummul mukminin, satu figura yang tidak mungkin ada kelemahan dari imannya, mungkihkah lagi keimanan mereka diragukan.Lantas sahabat semua serahkan segalanya pada Allah SWT.

Bahagia bukan terletak pada kesenangan hidup,banyaknya harta,indahnya pasangan dan sebagainya.Bahagia itu terletak pada, firman Allah:
“ Dan diantara tanda-tanda(kebesaran)Nya ilah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri,agar kamu cenderung dan berasa temteram kepadanya.Dan menjadikan diantaramu rasa kasih dan sayang”. (QS anRuum:21)

Tuesday, November 9, 2010

“ KAIN KECIL DI WAJAHMU………”


“Su, ana minta maaflah jika menyakiti hati enti,” Rozita menyiku Sumayyah tiba-tiba.

“Enti marahkan ana tak jika ana tanya satu soalan?” Rozita menyambung sambil matanya meliar melihat dua orang pelajar siswi yang berpurdah sedang menyeberang jalan di Bulatan Antarabangsa. Seorang memakai tudung kelabu dan purdah kelabu serta berjubah hitam. Dan seorang lagi tudung hitam dan purdah hitam berbaju kurung merah gelap.

“ Tak. Tanyalah, ada apa?” Sumayyah menjawab tenang. Hatinya tenang kerana seharian kuliah, akhirnya baru dapat makan berdua dengan sahabat yang dirinduinya.

“ Ana tengok, hari demi hari makin ramai yang pakai purdah di kolej. Enti tak rasa ke diorang ni pakai sesedap rasa je, main suka2 je. Perangai belum tentu baik tapi dah pakai purdah.” Rozita menjelaskan berterus-terang.

“Ita, betul ke apa yang ana dengar ni?” “ Lain macam je bunyinye…” Sumayyah memerhatikan arah tumpuan Rozita. Sambil membayar nasi goreng ayam radix kegemarannya, Sumayyah melihat air muka sahabatnya seperti sedang menahan marah. Sumayyah tahu Rozita lah sahabat yang paling akrab dan pendokong paling kuat kepada perjuangan sahabat-sahabatnya mempertahankan pakaian wanita Islam di kolej.

“ Ada apa-apa ke ni?” Sumayyah menambah.

Rozita menggeleng. Sumayyah sedar perubahan pada diri sahabatnya. Sememangnya Rozita agak tidak suka bermesyuarat dengan muslimin. Balik dari mesyuarat sahaja, dia beremosi.

“ Hmm..Ana cakap betul lah…mana ada main-main. Enti patut bertanggungjawab. Diorang ni banyak terpengaruh dengan tulisan enti tentang purdah” kata Rozita sambil meletakkan beg di meja makan bahagian siswi. Meja itu sudah menjadi kegemaran mereka kerana ia menghadap tasik.

Sumayyah diam agak lama, sambil menyusun gelas, pinggan, beg dan fail-failnya agar teratur. Sumayyah cuba mengaitkan apa yang biasanya menjadi kemarahan sahabatnya.

“ Macam mana meeting tadi?” Sumayyah cuba meneka permasalahan sebenar.

“ Enti,” Rozita meletakkan sudu dan garfunya.

“ok, ok, ana tanya enti…” Sumayyah memberhentikan kata-katanya, menunggu mata mereka bertentang untuk mendapat tumpuan sahabat yang dikasihinya. “ Salahkah berpurdah? Islam tidak pernah mengajarkankah pada kita? Apa yang mereka lakukan bertentangan dengan agama kita ke?”

“ Ana tak kata begitu, cuma bercouple la, berdating la, bukan-bukan je diorang ni. Pakai purdah, tapi perangai tak ubah macam budak tak pakai tudung” Rozita menghamburkan apa yang tersimpan di hati.

Sumayyah terkedu. Namun bertenang sahaja. Baginya adik-adik mujahidah purdah yang dikenalinya ramai yang sedang berusaha bermujahadah mengejar cinta Allah. Kalau ada yang perangai buruk pun itu kisah lama. Dan kalau ada yang masih bermasalah mungkin hanya dua, tiga orang sahaja. tak adil rasanya meletakkan kesalahan itu di bahu semua. Biasalah, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Tapi, jelas padanya Rozita tentu mahu suburkan kembali kekuatannya dengan hujah. Selalunya begitulah, jika pemakai purdah dihina, mulalah dia menambah hujah dengan cara mendapatkan maklumat dari Sumayyah.

“Tak perlulah berpurdah, perangai tu kena baik dulu. Main hentam sahaja” Rozita menambah lagi. Rozita baru balik dari meeting persatuan. Dalam meeting tadi, Muslimin hebat menghentam pemakai purdah, terutama Ketua Unit Kebersihan Masjid, Azrol Hazim. Biasanya, Rozita yang hebat mempertahankan sahabat-sahabat yang berpurdah. Tapi, dia mula mati hujah bila Azrol membangkitkan nama pensyarah yang mereka kasihi dan hormati, Puan Zaitun.

“ Pertama, enti ada bukti ke mereka ni berdating dan bercouple? Siapa yang enti maksudkan? Enti tak boleh hanya mendengar khabar angin, terus meletakkan salah itu pada pemakai purdah tanpa menyelidiki sebaiknya. Kedua, jika salah seorang yang berdating, adakah semua kain kecil di muka mereka yang dipersalahkan? Dan adakah semua pemakai purdah bersalah? Ketiga, yang pakai tudung biasa, yang pakai tudung labuh takda ke yang berdating dan bercouple? Semuanya baik?” Sumayyah bertanya kembali kepada Rozita.

Rozita terdiam, tunduk.

“ Adakah mereka perlu jadi baik dulu sebelum menutup aurat dengan memakai tudung? Apakah terdapat syarat mempunyai akhlak yang baik baru memakai pakaian seperti yang digariskan syarak?”

Rozita menggeleng.

“ Adakah jika pemakai tudung itu bercoule, berdating malah berzina, maka tudung itu yang salah? Adakah tudung yang salah dan purdah yang salah? Ataukah perbuatan berdating atau berzina itu yang salah? Adakah dalam Islam ni, bila kita nak mengamalkan sesuatu perintah Allah, mesti sudah sempurna perintah yang lain baru boleh lakukan perintah seterusnya?

Rozita terdiam. Mukanya merona merah.

“ Berhakkah ana menapis mereka semua sebelum diluluskan untuk memakai purdah? Siapa ana? Perlukah ana interview mereka seorang demi seorang? Hanya kerana ana kalangan orang pertama yang memakai purdah di kolej ni? Pada ana, Ita, memakai purdah ni adalah cara mendekatkan diri kepada Allah, maka sedikit demi sedikit pemakai purdah akan menjadi muslimah yang solehah. Ia bergerak selari dengan perubahan diri ke arah menjadi muslimah sejati. Pada ana, mereka mampu dan kuat untuk menutup wajah mereka sudah menjadi satu usaha yang baik untuk memelihara diri mereka,” Sumayyah cuba menjelaskan keadaan sebenar yang menjadi kekeliruan sahabatnya.

“ Tak mungkin menunggu perangai sempurna baru memakai purdah, hidayah sudah sampai, pastilah adik-adik menyambutnya,” sumayyah menambah lagi. Sumayyah mengangkat tangan, sambil menganggukkan kepala kepada siswi yang lalu-lalang berhampiran tasik yang mengenali mereka.



“Tapi, enti terangkanlah pada mereka tentang hukum berpurdah ni. Bukannya wajib pun,” Rozita menambah lagi. Dia menjelaskan dalam keadaan tenang.

“ Ita, sahabatku yang kukasihi, yang bakal menjadi temanku di mahligai syurgawi, adakah ia haram?” “ Ada tak ulama’ yang menghukumkannya haram?” Sumayyah membalas lembut, hatinya sayu. “ Tak ada, yang ada hanya hukum wajib, sunat mustahab (Yang disukai) sahaja, al-fadhil Ustaz Muhammad Sa’id Ramadan al-Buti pun menghukumkan wajib berpurdah di zaman penuh kefasadan sekarang ni dalam buku fiqh sirah yang ustaz kupaskan tu, enti dah baca bahagian tu? Islam menyukainya, sahabatku. Jadi, usah kita menjadi penghalang mereka berpurdah,”

Rozita terdiam.

“ Untuk kali keberapa, ana masih nak tanyakan enti, enti tahu kan hukumnya? Sebelum enti menghinakan mereka yang berpurdah? Rozita yang ana kenal takkan mudah berputus asa dengan cacian orang, kan? Enti pun tahu kan, ana sudah menjelaskan, bukan semuanya memakai kerana memahami hukum. Enti pun tahu kan tujuan ana menulis novel Kain Kecil Di Wajahmu, adalah untuk menerangkan pada adik-adik tentang hukum berpurdah ni, sabarlah, lambat laun, mereka akan faham. Ana tahu ramai sangat yang tak faham lagi hukumnya dalam Islam. Ana pun memerlukan kajian bertahun-tahun. Ada juga yang memakainya kerana malu pada lelaki. Enti pun faham kan perasaan tu. Ia fitrah dan ia baik, memudahkan lelaki menjaga pandangan. Bukankah Islam menuntut lelaki dan perempuan agar menjaga pandangannya seperti dalam Surah an-Nur ayat 30 dan 31?, ”

Rozita terdiam. Dia teringat macam mana setiap kali meeting dia selalu menundukkan kepala dan kadang-kadang berselindung di belakang Sumayyah kerana malu yang begitu menebal pada kaum lelaki. Dia sedar bahawa dirinya banyak terpengaruh dengan kata-kata muslimin. Tapi, Rozita masih merasakan sakitnya panahan kata-kata Azrol dalam meeting tadi, macam benar.

“Azrol kata, purdah ni cuma adat sahaja.” Rozita cuba mengingat kembali hujah Azrol.

“Azrol tu siapa? Azrol mana, Ita? Sumayyah cuba menguji.

“Azrol la, mana ada Azrol lain, pelajar tahun tiga Engineering. Enti pun kenal, kan ana selalu menyebut namanya. Katanya, Muslimat ni tak perlu berpurdah dalam organisasi, purdah ni adat sahaja.”

Sumayyah menggeleng perlahan. “ Subhanallah, Maha Suci Allah. Maaflah jika ana katakan begini. Azrol tu kan ana kenal sangat. Mana pulak adat. Azrol tu baru menyertai usrah kita semester ni. Semester ni ustaz baru kupas buku Fiqh Sirah 1, buku Fiqh sirah 2 belum lagi ustaz kupaskan dalam usrah. Yang ustaz kupaskan dalam usrah MT yelah Fiqh sirah 2 termasuk. Tapi untuk exco kan baru Fiqh sirah 1. Mereka kan masih baru menyertai usrah. Azrol tu kan memandai je…Astaghfirullahal’azim, bukan ana nak mengumpat, Ita. Tapi, enti nak terima hujah seseorang perlu menilai juga pandangannya dan pengamalannya selama ini terhadap hukum-hukum dalam Islam. Azrol cukup tidak suka muslimat yang berpurdah. Dia sudah terdidik dengan pemikiran Barat. Ibunya bertudung selempang, bapanya mementingkan akademik anaknya dan tidak mementingkan agama mereka adik-beradik. Ana kan sekampung dengannya. Azrol bukan dari sekolah agama, dan Azrol bukan pelajar pengajian Islam. Oleh itu, Azrol tidak tahu tentang hukum berpurdah. Dia hanya dengar-dengar je dan buat kesimpulan, mengkaji jauh sekali. Azrol pernah buat tesis atau kajian tentang purdah ke? Bila ye, ada kajiannya? Boleh tunjukkan pada ana.”

“Tapi, Azrol ada hujah yang kuat,”

“ Apa hujahnya?”

“ Pendakwah tidak boleh menutup muka, ia mengganggu dakwah,”

“ Itu bukan hujah, itu pendapat,”

“ Pendapat peribadi, tanpa sokongan dalil tidak boleh dijadikan hujah dalam Islam,” Sumayyah menjelaskan tegas.

” Ia membuatkan mad’u lari daripada kita,”

“Dan tidak ada kewajipan bagi mana-mana perempuan untuk mentaati perintah yang tidak ada asasnya dalam Islam, jelasnya ana sendiri yang menyusun bahagian tarbiyah. Enti tahukan kebanyakan adik-adik yang pergi usrah yang dibawa oleh naqibah yang berpurdah. Yang tidak berpurdah pula yang kurang anak usrahnya. Ia bergantung kepada komitmen dan kekreativitian naqibah sebenarnya, enti pun tahu sejarah Kelab Amar Ma’ruf, kan sudah bertahun-tahun kita di sini semenjak diploma. Bukan kerana purdah orang lari tapi kerana Islam itu sendiri yang ditakutinya. Mana ada orang suka benda baik, Ita. Kenapa ye, yang lain-lain tidak berdakwah dengan lebih bersemangat kalaulah muka mereka itu digunakan untuk berdakwah, sepatutnya lebih ramai yang berjaya ditarik ke dalam usrah. Ana tengok sama sahaja. Boleh ke kita salahkan hukum Islam jika orang lari dari kita? Dulu bertudung labuh pun dapat spekulasi yang sama, bertudung hitam pun sama, sekarang bila dah ramai berpurdah, yang berpurdah pula dituduh orang lari. Tiba-tiba sahaja, yang bertudung labuh orang tak lari pula? Pelik tu. Masyarakat yang belum mengubah cara berfikir, masih kolot dan jumud tentang islam, itu tujuannya usrah. Bukanlah dengan menanggalkan apa yang ada pada diri kita. Entahlah Ita, terpulang, ana secara peribadinya lebih selesa berdakwah dengan berpurdah. Di asrama kita bersama adik-adik perempuan dengan selesa. Di luar asrama kita berurusan dengan muslimin dalam keadaan terjaga. Ana lebih suka purdah ni dalam memelihara diri, jika tidak, nak bermesyuarat dengan muslimin pun ana malas. Ana pelik dan rimas kenapa mereka boleh pula melihat wajah kita semudahnya. Islam telah menyelamatkan ana, Allah mengurniakan kain kecil ini bagi memudahkan urusan organisasi kita,”

“Jelasnya, Azrol bukanlah ulama’ sehebat Ibnu Mas’ud, Ibnu Kathir, Ibnu Abbas, Syeikh Muhammad bin Salih bin Uthaimin dan lain-lain ulama’ kebanyakan ulama’ Syafi’iyyah. Adakah Azrol menyalahkan ulama’? Azrol bukan sahaja tidak tahu hukum berpurdah bahkan banyak lagi hukum tidak diketahuinya. Enti pernah test tanya dia hukum berwudhuk, hukum solat jamak dan qasar, hukum membeli barangan Israel dan Amerika, enti pernah tanya pada Azrol tentang pendapat ulama’ tentang solat bagi keempat-empat mazhab berlainan?”

“Enti ni, Azrol tu makan Mc’ Donalds lagi, tapi beria-ia mengatakan purdah tak perlu pakai kerana ulama’ kontemporari Prof. Dr. Yusof al-Qardhawi menghukumkan begitu. Tapi, ada tak dia nak terima fatwa ulama’ yang sama yang mengatakan haram membeli produk Amerika dan Israel? Azrol, untuk pengetahuan enti seorang yang tak thiqah dan hanya mengambil hukum yang ia suka sahaja. Ya, yang selari dengan nafsu dan gaya hidup kebaratan yang telah didoktrinkan oleh yahudi dalam pemikirannya. Tak perlu jauh-jauh, Azrol tu bercouple lagi. Apa bercouple tu tak haram baginya?” Sumayyah mempersoalkan satu persatu hukum yang dia tahu merupakan bukan kepakaran Azrol.

“Tapi, Azrol bertanya pada pensyarahnya,”

“ Pensyarahnya yang dia rapat? Puan Zaitun ye?” Sumayyah menyoal dengan penuh kepastian.

Rozita mengangguk lemah.

“Puan Zaitun belajar di sekolah mana, Ta? Puan Zaitun pengkhususan apa? Puan Zaitun ambil degree dan master di mana dan apa bidang kajiannya? Puan Zaitun pakai macam mana di luar kolej? Apa hukum menutup aurat bagi Puan Zaitun? Pernah jumpa beliau di luar kolej tak? Boleh diringankan sampai ke tahap tu sekali? Allahuakbar! Ana bukan macam tu, Ita. Boleh ke kita tanya tentang akaun pada pelajar Qur’an Sunnah? Boleh ke dia jawab? Boleh kalau dia pernah belajar dan kaji tentang akaun sama ada di sekolah atau di peringkat universiti. Perlu ada bukti bahawa ia pernah mengkaji perkara ini. Jika Azrol berpendapat setakat meminjam pendapat Us Razali dalam blognya yang terkenal tanpa sebarang pengkajian lanjut nak suruh kita membuka purdah? Siapa dia untuk mempertikaikan al-Qur’an? Hmm…cuba kalau Azrol suka merujuk Us. Abu Zaki, Us. Saifullah , Us. Amzan, tentu lain pula pendapatnya. Merujuk tentang Akaun bolelah pada Puan Zaitun, ape pulak soal hukum merujuk Puan Zaitun? Hmm…ana kalau nak tanya akaun ana tak tanya ustaz Amzan, Ita. Itu bukan kepakarannya,” Sumayyah menggelengkan kepala. Dia faham benar betapa bersungguh-sungguhnya pelajar bukan pengajian Islam ni meletakkan hukum berpurdah mengikut nafsu dan kejahilan mereka.

“ Enti tak boleh la nak tunjuk hebat, sedangkan mereka muslimin kan tentu mereka lebih tahu,” Rozita cuba membela.

“ Ana tak tunjuk hebat, tapi kalau dah enti mempersoalkan hukum Allah, ana perlu pertahankan Islam yang ana anuti. Sepatutnya enti berkata begitu kepada Azrol kerana dia bercakap tentang sesuatu yang dia tidak mempunyai ilmu mengenainya. Muslimin, jika suka bermain game, suka buat perkara lagha, chatting dengan muslimat sana-sini, bercouple dan tidak menjaga thiqah, maafkan ana tapi ana tak respect langsung. Jika ilmu setakat di bibir bukan dicerminkan pada perlakuan, perlu ke kita hormat padanya? Dalam Surah as-Saff ayat 4 pun Allah mencela orang yang memperkatakan sesuatu yang ia tidak lakukan,” Sumayyah menjelaskan sikap buruk sesetengah Muslimin yang tidak boleh dipakai kata-katanya.

“ Ya, kita muslimat. Namun ini bukan soal ilmu muslimin atau muslimat. Sebelum Azrol mencadangkan pada Muslimat Kelab Amar Ma’ruf untuk menanggalkan purdah, Azrol perlu buka al-Qur’an untuk lihat hukum berpurdah yang telah ditetapkan oleh Allah. Azrol tidak boleh menghukum dengan pendapat peribadi. Ia mesti didasari ilmu, Azrol perlu membuat kajian sebelum ia memberi arahan yang bertentangan dengan kehendak Islam. Ya, tidak ada kewajipan berpurdah bagi sesetengah ulama’ tapi tidak boleh menghalang wanita berpurdah, itu kan sudah fitrahnya, dan islam pula menggalakkan. Salah tu, memang salah menghalang orang memakai purdah, sama salahnya memaksa-maksa orang memakai purdah,” Sumayyah menjelaskan bagaimana dahulu ia mula mengkaji tentang purdah. “ Bukan soalnya wajib berpurdah, tapi soalnya, sebagai seorang yang beriman dengan al-Qur’an dan as-Sunnah, beliau tidak perlu halang mana-mana wanita untuk berpurdah kerana Islam menyukainya,”

“ Adakah dalil dalam al-Qur’an membezakan pakaian orang yang berdakwah dan tidak berdakwah?” “ Adakah kewajipan berdakwah menggunakan muka?” “Apakah anggota lain tidak dapat membantu dakwah? Adakah kewajipan berdakwah begitu sekali hingga aurat perlu dibuka? Ana pun belajar uslub dakwah tapi tak ada pula menyentuh soal muka , tiada pula dalam ilmu methodologi dakwah yang mengatakan keberkesanan dakwah itu meningkat bagi wanita yang tidak memakai purdah berbanding yang berpurdah, yang tersenyum dan tidak tersenyum. Jika ini ada, maka bagaimana pula meningkatnya dosa seorang yang tidak berpurdah dan senyuman manisnya memikat ribuan lelaki dan mendatangkan fitnah jika dibandingkan dengan seorang wanita yang berpurdah? Berdakwah, berdakwah juga, tapi, hukum menutup aurat mana boleh kita permainkan. Kita masih boleh teruskan dakwah tanpa muka. Dakwah bukan menggunakan muka dan senyuman sahaja,”

“ Tapi, muka bukan aurat,”

“ Muka bukan aurat bagi sesetengah ulama’, tapi aurat bagi sesetengah ulama’. Jadi, bila ada ulama’ yang mengira muka sebagai aurat, Azrol tak bolehlah nak kata ulama’ tu tak betul..Muhammad bin Sirin dan Ubaidah al-Salmani tak betul, begitu? Oleh kerana hujah mereka (ulama’ yang mengatakan muka dan tangan aurat dan ulama’ yang mengatakan muka dan tangan bukan aurat) sama kuat bahkan dalam mazhab as-Syafi’e hujah wajib berpurdah lebih kuat, maka sekali lagi ana tekankan, tidak boleh bagi mana-mana lelaki menyuruh mana-mana kaum wanita membuka penutup mukanya sebagaimana Yahudi cuba hendak membuka purdah seorang wanita yang mencetuskan kemarahan kaum Muslimin dan terjadinya pergaduhan pertama antara kaum Muslimin dengan yahudi setelah dimeterai perjanjian di antara mereka dan Rasulullah s.a.w. Pertengkaran ini berlaku sebagaimana yang diceritakan oleh al-Tabari dan al-Waqidi ialah di pertengahan bulan Syawal tahun kedua Hijrah,” Sumayyah menegaskan.

“ Bila ada ulama’ yang menghukumkan wajib memakai purdah, maka, Azrol atau mana-mana manusia di dunia ini tidak boleh sama sekali menyuruh atau memerintahkan mana-mana perempuan untuk menanggalkan purdahnya, kerana ia termaktub di dalam hukum- WAJIB dan SUNAT. Tiada yang mengHARAM kan. Ulama’ mana pun tidak mengharamkan, jadi mana datang arahan membuka. Tiada ulama’ menyuruh wanita membuka wajahnya, Azrol siapa untuk menyuruh wanita membuka wajahnya, dan kitab mana yang menjadi rujukannya, bukankah kitab rujukan umat Islam adalah al-Qur’an,” Sumayyah menjelaskan panjang lebar.

“ Mana boleh Azrol menghukum sesuka hati dia, hanya berpandukan artikel dua-tiga tulisan ulama’ kontemporari dan ulama’ itu pun tidak mengkaji tentang purdah, dia pun sekadar mengambil hukum daripada tulisan ulama’ kontemporari juga. Mana boleh, Ita. Nak berhukum mesti rujuk al-Qur’an,”

“ Tapi, mana ada hukum berpurdah dalam al-Qur’an,” kata Rozita.

“ Ita, kalau tak ada dalam al-Qur’an, jadi , boleh ke kita buat hukum sendiri?” Sumayyah masih tidak letih mengingatkan sahabatnya. Dalam sepuluh kali dah soalan yang sama Ita ajukan dalam tahun ni sahaja. Semata-mata kerana beliau dihina, maka Ita mula rasa lemah dalam mempertahankan.

“ Habis, kalau tiada, maka boleh la berijtihad,” kata Rozita acuh tak acuh.

Sumayyah merenung gambar wanita berpurdah yang diletakkan di belakang failnya. Dia agak terluka mengingatkan pelajar-pelajar yang tidak mengkaji hukum termasuklah Rozita, dengan mudahnya meletakkan hukum berpurdah mengikut faham orang tak berilmu. Sumayyah faham bahawa sahabatnya mengambil jurusan kejururawatan.

“ Siapa kata tiada. Cuba enti tulis dalilnya dari al-Qur’an supaya enti tak mati hujah dalam penerangan kepada masyarakat. Terus sahaja berijtihad?” “ Enti ni Ita….” “ Enti, kita kena belajar dari A sampai Z kaedah penetapan hukum dalam Islam. Dari sumber-sumber hukum dalam Islam hinggalah kepada kaedah penetapan hukum. Bahaya jika enti membawa kaedah hukum yang enti faham ni kepada orang ramai. Enti pun jelas bahawa sistem pendidikan di Malaysia ni tidak mampu memanusiakan manusia. Ia hanya berlingkar pada perkara yang terlalu asas. Kemudian, bila pelajar-pelajar masuk universiti terus didedahkan dengan ilmu fardhu kifayah, sedangkan ilmu fardhu ain pun kita belum selesai lagi. Inilah kebobrokan sistem pendidikan di Negara kita. Pendidikan sepatutnya mendekatkan kita kepada Allah dan menjadikan kita takut pada-Nya dan mencintai-Nya, tapi, sistem di Negara kita salah cara dan oleh itu tidak dapat mencapai matlamat pendidikan dalam Islam. Jadilah, kita semua masyarakat yang jahil hingga ke tua. Ilmu agama perlu dicari di surau1 dan kelas pengajian tambahan pula bila dah tua. Sepatutnya penerapan ini berlaku ketika kecil.” Sumayyah menasihati Rozita, tegas dan jelas.

“ Betul lah jika ana katakan dalam al-Qur’an tiada hukum berpurdah?”

“ Ada,” Sumayyah menjawab ringkas.

“ Ye ke? Surah apa?”

“ Surah al-Ahzab dan Surah an-Nur,”

“ Ayat berapa?” Rozita mencatit bersemangat. Dia mula rasa bersalah kerana Sumayyah telah banyak kali menjelaskan padanya dan dia sering lupa nama surah yang menyebut tentang aurat wanita.

“ Surah an-Nur ayat 31, ayat 60. Surah al-Ahzab ayat 53, 55, 59.”

“Dalam surah ni ia sebut purdah ke? Apa purdah dalam bahasa Arab?”

“Dalam Surah al-Ahzab ayat ke-59. Dalam surah ni ia sebut “ jalabib” jalabib ini kita nak faham maksudnya perlu merujuk pada tafsir. Maksudnya, apa yang kit abaca dari al-Qur’an perlu kita fahami apa yang Allah nak sampaikan melalui tafsir. Ada ramai ulama’ yang memberi tafsiran yang berbeza untuk perkataan “ jalabib” ni. Ada yang kata kain yang menutup kepala dan leher dan ada yang berpendapat bahawa perkataan jalabib ni bermakna kain yang besar yang menutup kepala dan sekaligus wajahnya.Kecuali mata. Ada ulama’ yang berpendapat mata kiri yang perlu dibuka dan ada ulama’ yang berpendapat mata kanan yang perlu dibuka untuk melihat jalan. Kedua-duanya betul. Jadi, ulama’ yang mengatakan perkataan jalabib itu sebagai kain menutup muka, maka, mereka menetapkan hukum berpurdah itu wajib iaitu mesti dipakai oleh wanita. Manakala ulama’ yang menafsirkan perkataan jalabib dalam al-Qur’an itu hanya tudung yang menutup leher dan kepala berpendapat bahawa wajib bagi wanita menutup kepala dan leher serta tidak wajib menutup muka. Maka, ulama’-ulama ini hanya menghukumkan purdah itu sebagai sunat sahaja atau dalam erti kata lain digalakkan. Tapi, dalam keseluruhan al-Qur’an tidak ada yang menghukum haram memakai purdah bagi wanita kecuali ketika solat dan ihram. Ini dua termasuk dalam soal ta’abbudi. Hanya dalam dua keadaan ini sahaja kaum wanita diharamkan dari berpurdah.”

Rozita diam sebentar. Dikeluarkannya sebuah artikel tentang purdah lantas diberikannya kepada Sumayyah. “ Enti kena tengok ni, entah-entah purdah ni bukan ajaran Islam, ia cuma tradisi sahaja”

Sumayyah menyambut artikel itu dan mengangguk. Sumayyah lantas mengembalikan pada Rozita.

Sumayyah bertanya lagi “ Ana dah baca artikel ni. Enti nak berhujah menggunakan artikel ni? Silakan. Purdah mungkin tradisi, tapi hukum bahawa wajah dan tangan adalah aurat wanita yang perlu ditutup bukan tradisi, ia hukum yang jelas dalam tafsiran beberapa ulama’ tentang ayat dalam surah al-Ahzab,”

Rozita mengeluh. Terasa perbuatannya bagai memalukan diri sendiri memandangkan sahabatnya Sumayyah telah sekian lama mengkaji tentang purdah.

“ Enti bagitau ana apa hujah penulis terhadap purdah”

“ Su, enti kena terima hakikat. Purdah ni cuma pakaian tradisional Arab sahaja. Kita bukan orang Arab, Su. Kita bukan di zaman Nabi, dan kita, kita bukan isteri Nabi yang mulia, bukan ummahatul mukminin,”

Hati Sumayyah berdetak. Dia diam sebentar. Sumayyah menahan sebak. Dia kecewa dengan kejahilan masyarakat tapi, tiada istilah putus asa dalam menyampaikan ilmu baginya kerana itulah lumrah pendakwah. Sumayyah cuba mengangkat muka.

Rozita diam. Baginya jelas apa yang diperkatakan.

“ Enti berhujah dengan hujah siapa?”

“ Enti, Syeikh Tantawi sendiri mengatakan bahawa ia adalah adat dan bukannya ibadat. Enti sedarlah Sumayyah. Enti hanya membazir masa enti untuk mempertahankan pemakaian purdah di kolej kita, sedangkan ia tidak pernah diajarkan agama kita. Siapa kita nak menafikan pendapat Syeikhul Azhar,”

“ Enti kata siapa kita nak menafikan pendapat Syeikhul Azhar, tapi enti sedar tak bahawa di kalangan ulama’ pun ada yang terikut-ikut irama kerajaan sekular.”

“ Sedap je enti tuduh ulama’ begitu?”

“ Enti, enti tahu tak siapa Syeikhul Azhar ni? Enti kenal tak ulama’ ni?

Rozita terdiam.

Rupa-rupanya, Sumayyah terlebih dahulu mengikuti perkembangan isu semasa.

Sumayyah mengeluarkan sehelai kertas dari beg galasnya.

Sumayyah membaca kenyataan yang terdapat dalam artikel tersebut“ Dr. Nazreen Nawaz memberi kenyataan tegas mengkritik tindakan Syeikh Muhammad Tantawi. Katanya Syeikh Tantawi bukanlah orang yang asing dalam memukul gendang mengikut irama kerajaan Sekular Barat. Antara perkara yang telah dilakukan termasuklah menyokong pengharaman tudung di Perancis, menasihati perempuan-perempuan Muslim untuk membuka tudung mereka dalam memenuhi kehendak undang-undang, serta bersalaman dengan Presiden Israel Shimon Peres iaitu seorang penyembelih yang mana tangannya berlumuran dengan darah ribuan rakyat Palestin. Berlatar belakangkan kerajaan Eropah yang sedang berusaha untuk mencantas kebangkitan Islam dalam masyarakat mereka dan memaksa untuk menerapkan nilai-nilai Barat melalui undang-undang seperti pengharaman tudung dan purdah, kata-katanya telah dijadikan sebagai hujah dalam agenda mereka. Tambahan pula, kenyataannya yang mutakhir ini telah menyediakan bantuan kepada propaganda peperangan kerajaan Barat terhadap Islam dan pakaian wanita Muslim. Dia menunjukkan kemarahan terhadap wanita yang berpurdah tetapi langsung tidak menghiraukan tindakan kerajaan membenarkan para pengunjung wanita untuk berarak separuh bogel di dalam pusat percutian di Mesir. Dia mempergunakan Islam untuk berhujah bahawa wanita Muslim mestilah membuka wajah mereka tetapi mendiamkan diri terhadap pemerintahan rejim sekular Mubarak yang zalim yang cuba sedaya upaya dalam menyingkirkan Islam dari masyarakat, termasuk memenjara dan menyeksa sesiapa yang menyeru kepada pemerintahan Islam. Enti nak guna hujah ulama’ yang begini?” Sumayyah mengakhiri pembacaannya sambil menggelengkan kepala.

Rozita terdiam.

Rozita menambah lagi “ Tapi, enti tahu tak isu ni jadi isu yang panas pada tahun 2001 di Mesir juga,”

“Isu yang mana tu? Di American University di Kaherah tu ye?”

Rozita mengangguk. “ Yup, seorang pengkaji Muslimah telah dilarang memasuki perpustakaan American University di Kaherah kerana enggan menanggalkan niqobnya. Tengok di Negara Mesir pun jadi macam ni. Negara Islam tu,”

“ Negara Mesir Negara Islam? Enti biar betul, Ita…Mesir dah dikotori sekularisme di mana-mana,” Sumayyah menafikan kenyataan sahabatnya. “ Husni Mubarak kan presidennya,”

“ Maafkan ana, Ita. Tapi kalau tak silap ana Muslimah tu telah membawa kes tersebut ke mahkamah dan mahkamah memutuskan larangan itu tidak sah. Maksudnya larangan untuk beliau masuk dengan keadaan mermakai niqab adalah tidak sah. Kesudahannya, wanita tersebut menang di dalam kes berkenaan.”

“ Oh, dia menang ye?”

“ Ha’ah,oh ye, enti. Ya, sebelum kita memutuskan sesuatu perkara atau isu sebagai hujah dan perdebatan, kita perlu tahu apa kesudahannya dan watak-watak utama dalam kes berkenaan. Enti tahu ke pasal arahan syeikh Tantawi sebenar,”

“ Maksud enti?”

“ Yelah, beliau mengharamkan niqab di University al-Azhar. Enti perlu ingat bahawa Universiti al-Azhar mempunyai kampus yang berasingan antara pelajar lelaki dan perempuan. Ini yang diajarkan Islam. Tapi, kolej dan universiti di Malaysia tidak begitu. Adalah haram dalam Islam untuk dicampurkan pelajar lelaki dan perempuan dalam sebuah pusat pengajian, tanpa tabir pula tu di dalam kelas. Jadi, kita memang tidak sama dengan mereka. Kita lagi perlu memakai niqab (purdah) kerana kita berada di kampus yang tidak mengasingkan kuliah dan kelas dan sebarang urusan untuk lelaki dan perempuan, “ Sumayyah menjelaskan panjang lebar.

“ Owh, begitu. Maksud enti tiada pelajar lelaki di kampus pelajar perempuan? Beginikah sistem di al-Azhar? Ana tak tau pun..”

“ Ha’ah, takde. Ana sempat singgah waktu lawatan sambil belajar ke Kaherah, tahun lepas. Memang kampus berasingan. Universiti lil baniin (untuk lelaki) dan lil banaat (untuk perempuan) adalah asing. Bagus, kan?” Sumayyah menjelaskan.

“ Subhanallah, bestnye..”

Sumayyah mengeluarkan sebuah fail yang diisi artikel tentang niqab di dalamnya. “ Cuba kita check and balance semula, ok, isu ni adalah berpunca daripada pekeliling yang dikeluarkan pada 5 Oktober 2009 oleh Syeikh al-Azhar kepada semua sekolah rendah dan menengah serta kolej-kolej milik Universiti al-Azhar, supaya pelajar wanita tidak dibenarkan memakai purdah semasa dalam kelas atau dewan kuliah. Lihatlah apa alasan mereka, semua kelas dan dewan kuliah pelajar wanita adalah berasingan daripada kelas dan dewan kuliah pelajar lelaki. Justeru, tiada keperluan bagi pelajar wanita memakai purdah. Ini berbeza semasa berada di luar kelas atau di luar dewan kuliah. Kita lihat hasil dari mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi al-Azhar , dalam mesyuarat ni diputuskan beberapa perkara:

Pertama, pelajar perempuan dibenarkan untuk memasuki premis al-Azhar as-Syarif secara berniqab. Wanita yang berniqab tidak boleh dihalang daripada memasuki perkarangan al-Azhar as-syarif.

Tentang perkara pertama yang diputuskan ni jelas pada kita bahawa niqab tidak diharamkan. Bahkan wanita yang berniqab tidak boleh pun dihalang daripada memasuki al-Azhar.

Kedua, pelajar perempuan dibenarkan memakai niqab apabila ada orang lelaki bersama mereka di dalam premis al-Azhar.

Lihat pada keterangan yang kedua. Pelajar perempuan diizinkan untuk memakai niqab jika ada orang lelaki di al-Azhar. Seperti yang kita tahu kampus mereka adalah khusus untuk pelajar perempuan. Dan kampus untuk pelajar lelaki bukan di tempat yang sama. Jadi, jika ada lelaki di dalam kampus, mereka dibenarkan berniqab.

Ketiga, para pelajar perempuan tidak dibenarkan memakai niqab di dalam bilik-bilik kelas kerana semua pelajar adalah perempuan. Larangan ini berkuat kuasa apabila guru yang mengajar juga adalah perempuan.

Keputusan yang ketiga juga jelas. Arahan tidak dibenarkan memakai niqab di dalam kelas adalah arahan yang jelas tidak bertentangan dengan Islam kerana kelas-kelas ini hanya terdiri daripada pelajar perempuan sahaja. Dan larangan memakai niqab ini hanya berkuat kuasa jika guru itu adalah perempuan. Lihat, kita di kampus yang bercampur dengan lelaki di dalam kelas dan gurunya juga lelaki, tentulah lagi perlu memakai niqab.

Keempat, para pelajar perempuan tidak dibenarkan untuk memakai niqab sewaktu peperiksaan berlangsung. Maka para pengawal semasa peperiksaan berlangsung hendaklah dari kalangan wanita.

Keputusan yang keempat juga begitu jelas. Pelajar perempuan tidak dibenarkan memakai niqab hanya dengan syarat para pengawal peperiksaan adalah dari kalangan wanita. Lihat, jika para pengawal terdiri daripada lelaki, maka larangan berniqab ini tidak sah lagi. Lihat, adakah nak kita samakan dengan kolej kita. Di kolej kita, bukan sahaja para pengawal peperiksaan terdiri daripada pensyarah lelaki dan staf lelaki, bahkan di dalam dewan peperiksaan juga bercampurnya antara pelajar lelaki dan perempuan. Lihat, kita lebih-lebih lagi perlu memakai purdah.

Kelima, Majlis Tertinggi al-Azhar bukanlah menghalang wanita daripada memakai niqab dalam kehidupan seharian mereka sebaliknya Majlis tidak bersetuju niqab dipakai pada tempat-tempat yang tidak sepatutnya yang akan memberikan kesan yang negatif pada pemikiran kanak-kanak lebih-lebih lagi pandangan yang mengatakan bahawa wajah wanita wajib untuk ditutup adalah pandangan minoriti fuqaha’ Islam.

Keputusan majlis yang kelima ini semestinya tidak ana persetujui. Lihat sahaja bagaimana kanak-kanak tidak ada masalah dengan pemakai niqab apabila mereka sudah terbiasa dengan ibu mereka sendiri yang berniqab. Bagi ana, jika kita nak menghalang orang dari berniqab hanya kerana kanak-kanak maka kita perlu kembalikan pada hukum itu sendiri. Ini bukan persoalan, minoriti ulama’ menghukumkan wajib berpurdah maka bermakna tidak perlu berhujah. Kedua-dua hujah ulama’ yang berselisih adalah berkaitan wajib dan sunat. Tidak ada ulama’ yang mengharamkan. Oleh itu, tidak timbul persoalan untuk mereka yang memakai kerana kedua-dua hujah sepakat kebaikan memakai purdah.

Jadi, ini semua berbalik kembali pada persoalan hukum berpurdah ini dalam Islam,” jelas Sumayyah panjang lebar.

“ Tapi, ada juga mereka menyebutkan bahawa pemakaian purdah adalah adat dan bukannya ibadat, malah ia merupakan isu khilafiyah dalam bidang fiqh,” Rozita menambah sambil menunjukkan kenyataan syeikhul azhar tersebut dalam artikel di tangannya.

“ Yup, ana tahu tu. Tapi, lihat kenyataan ini bertentangan. Pertama ia mengatakan bahawa ia adat dan bukan ibadat. Kedua ia mengatakan bahawa ia isu khilafiyyah dalam bidang fiqh. Kedua-dua ayat ini bertentangan. Lihat, jika purdah adalah adat, ini bermakna ia tak sepatutnya berada dalam isu khilafiyyah. Jika ia bukan ibadat, bagaimana ia termasuk isu khilafiyyah? Isu khilafiyyah adalah perkara-perkara yang ulama’ berbeza pendapat berkaitan hukum sahaja, bukannya soal adat pun dibincangkan. Ini bermakna ia ada kaitan dengan ibadah dan terbuktilah ia bukannya sekadar adat. Kerana ulama’ berselisih pendapat antara wajib dan sunat. Ini jelas membuktikan soal ibadah. Bukannya adat sahaja.” Sumayyah menjelaskan sambil menunjukkan pada kedua-dua kenyataan syaikh yang antagonis antara satu sama lain.

Rozita mengerutkan dahinya dan mengangguk.

“ Jelasnya, ana sendiri bersetuju dengan apa yang mereka bawa kerana mereka mengikut apa yang digariskan Islam sendiri dalam keputusan syeikh azhar untuk perkara satu hingga empat. Dan ia berkaitan isu khilafiyyah pun ana bersetuju kerana ia membuktikan pemakaian purdah ini berkaitan ibadah dan bukannya adat”

“ Tapi enti, lihat ni, beliau menegaskan bahawa tujuan ketetapan Majlis Tertinggi al-Azhar tersebut dibuat adalah adalah kerana untuk menjaga kehormatan para pelajar perempuan. Ini kerana berlaku pencerobohan beberapa orang lelaki ke dalam premis al-Azhar yang khusus untuk pelajar perempuan , ha, macam mana pendapat enti,”

“ Setuju, ana setuju. Untuk tujuan keselamatan, adalah tidak mengapa. Kerana kampus mereka ini hanya terdiri dari pelajar perempuan, jadi tidak mengapa membuka purdah, lagipun ini bagi mengelakkan pencerobohan. Lagipun, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut membuat kenyataan menyokong pandangan Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi tersebut, Tuan Guru Nik Aziz ada mengulas dengan berkata, “ Atas dasar keselamatan Negara, Tantawi mengambil keputusan tersebut sebagai langkah awal pencegahan jenayah dan keganasan, menangani taktik penjahat menggunakan purdah melindungi aktiviti haram mereka. Bagi ana tak da masalah kerana prems mereka semuanya perempuan. tapi, keadaan ini berbeza dengan Malaysia, jika keseluruhan kampus semuanya perempuan, barulah arahan ini sesuai diaplikasikan di Malaysia” Sumayyah menambah dengan menyokong bahagian ketetapan al-Azhar itu.

“Tapi,ada juga mereka menegaskan bahawa ketetapan ni dibuat demi untuk mengelak berlakunya penipuan di dalam peperiksaan. Beliau menegaskan bahawa pada tahun 2008 menyaksikan 12 kes penipuan semasa peperiksaan apabila para pelajar wanita yang berniqab yang terbabit telah meletakkan alat rakaman di sebalik niqab yang dipakai,” Rozita menambah lagi hujah syeikh al-Azhar.

“ Enti lihat, walaupun tiada pelajar yang berniqab dalam tahun-tahun sebelum kita semua berniqab iaitu sebelum tahun 2007, telah ada kes peniruan di dewan exam. Selain itu,dalam tahun-tahun lepas pun ada peniruan di dewan exam, bukan sedikit bahkan banyak sekali yang terdiri dari pelajar-pelajar pengajian Islam dan bukan pengajian Islam, pakai tudung labuh atau pakai tudung bawal. Tidak ada lagi yang melibatkan pelajar berniqab, tapi peniruan masih berlaku. Adakah salah niqab? Jika salah itu diletak pada niqab, maka kita juga boleh menyalahkan pelajar yang meniru di kolej kita atas tudung mereka. Jadi, adakah kita nak mengharamkan mereka bertudung kerana mereka meniru? Ana tidak nampak ini boleh dijadikan hujah. Akhlak dan adab untuk tidak meniru di dewan exam yang perlu diterapkan bukannya pakaian yang dipersalahkan. Namun, ana bersetuju dengan pendapat Syeikhul azhar bahawa dilarang untuk memakai niqab apabila pelajar yang mengambil peperiksaan dan pengawal peperiksaan semuanya terdiri daripada orang perempuan. Ana rasa ini tiada masalah. Inilah yang sepatutnya. Pengawal peperiksaan adalah perempuan dan semua pelajar perempuan diasingkan tempat peperiksaan dari pelajar lelaki, maka barulah larangan berniqab itu boleh dijalankan untuk langkah keselamatan jika perlu. Tapi, terus terang bagi ana, tidak perlu tunggu berniqab, menipu itu ada macam-macam cara, yang pakai tudung labuh dan pakai tudung bawal pun boleh menipu dan meniru. Pelajar sekarang ada banyak tempat sorok mereka, ustaz-ustaz pun dah kenal pasti tempat-tempat sorok nota yang biasa di kalangan pelajar perempuan dan pelajar lelaki,” Sumayyah menjelaskan sambil menggeleng kepala kecewa.

Sumayyah menjelaskan lagi kenyataannya “ Terdapat pelbagai respon dalam masyarakat Islam. Enti tahu tak Ita, Hamdi Hassan? Enti kenal tak?”

“ Tak” Rozita menggeleng.

“ Untuk pengetahuan enti, Hamdi Hassan adalah merupakan ahli parlimen Mesir yang mewakili kumpulan Ikhwanul Muslimin telah menyatakan bantahan keras kumpulan fundamentalis tersebut terhadap arahan Tantawi. Hamdi Hassan berpendapat bahawa Tantawi perlu meninggalkan jawatan beliau kerana sudah beberapa kali menyinggung perasaan institusi agama terunggul tersebut, dengan merujuk kepada beberapa fatwa kontroversi sebelum ini seperti mengharuskan transaksi riba di dalam perbankan atas nama faedah (riba) yang dibenarkan. Hamdi Hassan walaupun berpegang kepada pendapat niqab itu bukanlah wajib, membantah arahan Tantawi tersebut kerana al-Azhar bagi beliau ialah institusi agama yang perlu meraikan pandangan semua mazhab muktabar. Pendapat Hamdi Hassan ini pun disokong oleh tokoh ulama’ terkemuka Mesir yang merupakan bekas Ketua Majlis Fatwa dan Kajian Universiti al-Azhar, iaitu Syeikh Ali Abu al-Hasan. Menurut beliau, pihak berkuasa tidak mempunyai hak untuk melarang mana-mana Muslimah daripada memakai niqab, melainkan untuk sebab-sebab sekuriti. Ujar beliau lagi, pemakaian niqab tidak bercanggah dengan syariat Islam serta undang-undang Mesir, justeru pengharamannya tidak diterima sama sekali,” jelas Sumayyah dengan teliti.

“Oh, kalau macam tu, perkara ni pun jadi isu besar jugalah ye,”

“ Mestilah isu besar, ia masalah hukum, jika ditebuk oleh orang kafir atau orang Islam sendiri, pastilah bangkit orang berilmu di kalangan masyarakat Islam sendiri untuk mempertahankan hukum Islam. Ini bukan perkara main atau soal remeh. Ia melibatkan hukum wajib. Kalau sekadar sunat je dan tiada pendapat yang wajib, ana rasa isu ni tak jadi sebesar begini,” Sumayyah menambah.

Tut…tut…

“ Assalamualaikum,” Sumayyah menjawab panggilan telefon.

“ Waalaikumussalam, Su. Mak Ngah ni. Macam mana dengan cadangan Mak Ngah tempoh hari?”

“ Oh, Mak Ngah…Mak Ngah sihat?”

“ Alhamdulillah, sihat. Su Sihat?”

“ Alhamdulillah Mak Ngah. Mak Ngah, Su minta maaf banyak-banyak….Su tak dapat nak terima pinangan anak Mak Cik Melah. Su nak sambung belajar lagi Mak Ngah…”

“ Su, kamu ni dah berumur dah..terima je dulu, nanti baru fikir nak sambung belajar ke ape…Lagipun, kalau dah kahwin pun bole sambung belajar,”

“ Mak Ngah, Su dah istikharah dah. Mungkin ada yang lebih baik untuknya,”

“ Maafkan Su, Mak Ngah…”

Tak pe, tak pe…”

Rozita berdehem-dehem.

“ Pinangan yang baru?”

Sumayyah tunduk. Agak bosan. Bukan calang-calang suami yang diimpikan, mestilah yang sayangkan Islam dan mengamalkan, bukannya yang Islam pada nama.

“ Su masih menanti? Menanti sesuatu yang tak pasti?”

“ Subhanallah, hanya Allah yang berhak menyusun segalanya,” Sumayyah memejamkan matanya, sambil menggeleng.

Itulah prinsip Sumayyah.

“ Baik, kita sambung.”

“ Janganlah enti risau, Ita. Ana ok je, tak, ana tak tunggu siapa-siapa. Untuk apa menunggu seseorang yang tidak mahu beramal dengan hukum Islam, tentu ada yang lebih baik. Allah itu adil. Surah an-Nur kan Allah dah berjanji wanita yang baik untuk lelaki yang baik,”

“ Macam tu lah kawan ana, kuat, tidak mudah mengalah,” Rozita memeluk sahabat karibnya Sumayyah.

“ Ada yang terlebih baik untuk enti. “Rozita menepuk-nepuk bahu sahabatnya mesra.

Sumayyah tersenyum sendiri. Matanya mengecil. Rozita membalas senyuman kerana amat mengenali wajah sahabatnya yang tersenyum ketika berpurdah. Sumayyah menelan makanan dengan beratnya. Sukar dia menerima hakikat aturan hidupnya yang pelik. Namun kerana Allah digagahi juga. Hanya jauhari mengenal manikam. Terbayang keindahan Yaman yang pernah diceritakan. Memang tiada yang sempurna tapi sekurang-kurangnya yang takutkan Allah, yang berusaha mencapai kesempurnaan kehidupan bertunjangkan Islam. Subhanallah, tentu Syurga terlalu indah. Dengan sebab itulah jalan ke sana penuh berliku, fikirnya dalam hati.

“Lagi satu, tentang isu pengharaman niqab di Universiti al-azhar ni perlu kita kaji bersama. Dari segi politik, pengharaman itu boleh dimanipulasikan oleh mana-mana pihak, Negara sekular, pertubuhan-pertubuhan yang memusuhi Islam serta pertubuhan musuh dalam selimut di kalangan umat Islam sendiri. Ia boleh dijadikan prima facie di dalam Negara Eropah untuk mengharamkan secara total pemakaian niqab oleh wanita Muslim. Tidak mustahil juga, suatu hari nanti pemakaian tudung, hijab dan scarf pun bakal diharamkan. Malah tidak mustahil juga, suatu hari nanti lelaki Muslim pun turut dilarang daripada memakai kopiah, songkok atau serban kerana ia juga boleh dikatakan tiada kaitan dengan nas agama. Bayangkanlah jika Syeikhul Azhar terpaksa membuka serban al-Azharnya sekiranya ingin melawat Negara Eropah, bukan ke pelik tu? “ Sumayyah menambah.

Mereka berdua tersenyum sambil mengggeleng kepala membayangkan.

“ Enti ada usroh ke petang ni?”

“ Ada, kul 5.30 petang”

“ Nak ikut leh tak? Ana free petang ni,” Rozita memujuk sahabatnya untuk menyertainya.

“ Tak da masalah, insya Allah, kul 5.30 di Surau Parcel 8 ye. Jangan lewat tau. Naqibah mesti punctual,” Sumayyah mengingatkan Rozita dan dirinya sendiri.

Mereka berpisah di lif parcel 10. Rozita meneruskan perjalanan menuju lif parcel 6.

“ Oh ye, Su,” Rozita memanggil Sumayyah dan berpatah balik beberapa langkah.

Sumayyah yang baru melangkah ke dalam lif, menahan tangannya pada button OPEN lif tersebut. “ Ye,”

“ Apa kata kalau enti masukkan kisah persahabatan kita dalam novel enti,”

“ Bagus cadangan tu, memang dah masuk dah pun,” Sumayyah membalas sambil menarik purdahnya dan tersenyum. Memang begitulah keadaannya apabila sudah berada di blok asrama siswi.

“ Apa nama ana dalam novel enti?”

“ Enti ana namakan Aisyah iaitu watak paling nakal dalam novel ana,”

“ Heh, enti, tak nak la nakal….watak baik la…nama pun Aisyah. Eeii..bestnyer…nama ana Aisyah dalam novel enti, nama isteri nabi, Subhanallah, thanks,”

“Tak da apela, k, jumpe nanti insya Allah. Agak-agak rindu tu meh la ke bilik ana, macam tak biase lak..”

“ k, confirm, jap gi ana terpacak depan bilik enti, k,”

Sumayyah tersenyum. “ Assalamualaikum,”

“Waalaikumussalam,” balas Rozita. Mata mereka bertentangan. Lif tutup.

Satu mesej masuk:

“Su, nak gi tak jumpe adik-adik kite di Kuala Ponson? Ingat lagi tak? Rindu selalu..ingat lagi tak?”

Kampung Orang Asli Kuala Ponson Selangor:- Takkan sirna memori itu, ia segar di ingatan..ku merangkul kemas tubuhmu, erat kasih kita kau di dakapan..Aduhai adik! Dirimu bak kain putih..namun masih tiada lakaran warna nan indah..aku di kejauhan kan terus menongkah badai.. Menyahut seruan Ilahi..di tanah gersang mengaut khazanah ilmu..moga nun di sana..masih ada sinar hidayah..di balik kelam kan termaktub noktah bidayah..untukku memelukmu sebagai adikku seagama..duhai adik..jagailah hatimu nan suci..kan kucurahkan kasih sayang dan hikmah dari Tuhan kita..ketahuilah adikku….kenalilah DIA, DIA, ALLAH lah Tuhan kita semua..

Mesej Kak Zah dijawabnya dengan hati yang cukup sayu mengingatkan kenangan bersama adik-adik yang comel di Kuala Ponson.

Wallahua’lam.